KPT masih kumpul maklumat, dakwaan pelajar Malaysia jadi 'askar upahan' di Ukraine


  • Primer
  • Jumaat, 01 Nov 2024

Zambry berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh berhubung dakwaan mengaitkan seorang pelajar Malaysia menjadi tentera upahan di Ukraine.

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) masih mengumpul maklumat berhubung dakwaan seorang pelajar Malaysia menjadi tentera upahan di Ukraine, kata Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh.

"Kita akan lihat dahulu. Masih terlalu awal untuk memberikan komen. Saya akan dapatkan maklumat yang diperlukan dahulu," katanya di luar masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur selepas solat Jumaat.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Terdahulu, Zambry menghadiri program Temu Anwar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di UPNM.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai berita melaporkan tersebarnya beberapa keping gambar kad pengenalan Malaysia dan lesen memandu milik seorang lelaki didakwa ditemui di medan perang Ukraine-Rusia, berikutan penawanan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia oleh tentera Rusia.

2993542

Tular gambar yang menunjukkan dokumen pengenalan diri MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.

Lelaki terbabit dikatakan bersama Batalion Rifle ke-16 Ukraine.

Antara yang ditemui adalah satu dokumen beralamat di Padang Besar, Perlis.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis sedang meneliti kesahihan dokumen berkenaan.

Tambahnya, polis juga sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Luar.

Sehingga 29 Oktober lalu, Kementerian Luar berkata, ia belum dapat mengesahkan maklumat itu dan menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan mereka semasa berada di luar negara. — The Star/TEH ATHIRA YUSOF

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram