SEORANG rakyat tempatan yang dokumen peribadinya ditemui di medan perang antara Ukraine dan Rusia disahkan berkhidmat sebagai tentera upahan asing.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang menyatakan bahawa berdasarkan siasatan dijalannya menunjukkan lelaki berusia 20 tahun dari Kedah tersebut telah cedera akibat serpihan daripada serangan dron Rusia pada Oktober lepas.
BACA LAGI: [VIDEO] Cuaca sudah panas, tak dapat tahan sabar punca sekumpulan lelaki bergaduh guna senjata lepas kemalangan di Lahad Datu
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit berada di Ukraine sejak April lalu dan menjalani latihan ketenteraan.
"Lelaki itu menyertai perang di Ukraine kerana minat dalam ketenteraan dan menerima gaji antara AS400 (kira-kira RM1,700) hingga AS2,700 (kira-kira RM12,000) sebulan mengikut tahap bahaya di medan perang.
"Kami juga percaya tekanan daripada keluarga turut dipercayai menyebabkan dia sanggup menjauhkan diri daripada keluarga ke negara berkenaan," katanya.
Razarudin menambah bahawa lelaki tersebut telah kehilangan MyKad dan lesen memandunya semasa berusaha menyelamatkan diri ketika serangan dron Rusia.
"Namun, dia masih memiliki pasportnya. Dia telah menamatkan A-Level di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya dan tidak mempunyai kehadiran di media sosial.
"Sebaliknya, dia lebih memfokuskan perhatian kepada permainan dalam talian, khususnya permainan berasaskan perang," katanya.
Razarudin sebelum ini menyatakan bahawa pihak polis sedang mengesahkan dakwaan bahawa kad pengenalan Malaysia dan lesen memandu ditemui di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.
Dokumen tersebut dilaporkan ditemui setelah tentera Rusia mengambil alih kedudukan Ukraine di Levadne. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram