SEORANG anggota polis berumur 59 tahun cedera selepas diserang individu lelaki ketika bersiap untuk menunaikan solat zohor di sebuah surau di Kangkar Pulai, Iskandar Puteri, Johor.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 1 tengah hari pada Isnin ketika mangsa bersama seorang lagi anggota polis berusia 33 tahun singgah di surau itu untuk menunaikan solat.
“Penyerang, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun, menyerang dan mencederakan seorang pegawai sehingga menyebabkan luka di muka dan kecederaan pada kaki dan tangan kanannya.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis giat buru 4 suspek samun bersenjata di premis beli hasil sawit di Bukit Selambau
Siasatan mendapati suspek mempunyai sejarah rawatan psikiatri di sebuah hospital di Johor Bahru.
“Motif di sebalik serangan itu masih disiasat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau menambah bahawa suspek kemudiannya ditahan dan semakan awal mendapati dia mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan dua kesalahan berkaitan dadah.
“Bagaimanapun, ujian awal air kencing mendapati negatif dadah.
“Siasatan juga mendapati suspek mempunyai sejarah rawatan psikiatri di sebuah hospital di Johor Bahru.
“Dia kini ditahan reman selama empat hari bermula dari 19 hingga 22 November,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan secara sengaja bagi menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas yang boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Beliau menambah, orang ramai digesa tidak membuat spekulasi mengenai kes itu kerana siasatan masih dijalankan.
Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan menyalahi undang-undang digalakkan menghubungi balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau talian hotline 07-5114486. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram