SEORANG ahli farmasi Malaysia berusia 29 tahun yang bekerja di Melbourne, Australia didakwa dibunuh oleh seorang lelaki dipercayai menghidap skizofrenia.
Media Australia, 7News melaporkan Kum Chuan Leong yang bekerja di sebuah syarikat perkhidmatan kesihatan awam sejak 2021 ditemui mati oleh rakan sekerjanya di rumahnya di pinggir bandar Bellfield dekat Ivanhoe, Melbourne pada kira-kira pukul 11.30 pagi 23 Oktober lalu.
Rakan sekerjanya itu difahamkan pergi mencari Leong selepas mendapati mangsa tidak hadir ke tempat kerja.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Media tempatan melaporkan seorang lelaki gelandangan berusia 54 tahun telah ditahan berhubung kes itu dan kemudiannya didakwa di mahkamah pada hari berikutnya atas pembunuhan Leong.
Dalam pada itu, 7News menyatakan suspek yang dikenali sebagai Simon Hunter hadir di mahkamah Majistret Melbourne dalam prosiding melalui video dari sel penjaranya di balai polis Heidelberg.
Kediaman yang menjadi tempat Leong dibunuh. — Agensi
Lelaki itu diklasifikasikan sebagai individu tidak layak disiasat polis dengan kebimbangan turut timbul ekoran tingkah laku ditunjukkan suspek sejak ditahan.
Media melaporkan bahawa semasa prosiding mahkamah melalui video, lelaki itu menanggalkan pakaiannya di hadapan Majistret, Tara Hartnett.
Perbicaraan terbabit ditangguhkan buat sementara waktu sehingga Hunter muncul semula dengan tertuduh dikatakan tidak dapat bercakap dengan waras.
Peguam, Georgia Karvela memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya menghidap skizofrenia.
Mahkamah diberitahu bahawa Hunter tidak mengambil ubat selama dua minggu.
Sementara itu, majikan Leong, Ketua Eksekutif Eastern Health, David Plunkett berkata, Leong dikenali dan akan dikenang sebagai seorang individu yang memiliki sifat pemurah.
Leong disifatkan sebagai seorang pekerja yang cukup pemurah dan berdedikasi. — Agensi
"Dengan cukup sedihnya Eastern Health mengesahkan kematian rakan dan rakan sekerja kami Kum Chuan 'KC' Leong," kata Plunkett kepada media Australia.
Beliau berkata, Leong adalah pemimpin dan mentor yang berbakat untuk kebanyakan ahli farmasi yang baru bergiat dalam bidang tersebut.
“Dia akan diingati kerana semangat, kebaikan dan dedikasinya kepada pasukannya dan komuniti yang lebih luas.
“KC baru berusia 29 tahun, dan tragedi ini dirasai oleh ramai pihak.
“Memandangkan perkara ini sensitif, kami meminta anda menghormati privasi keluarga, rakan dan rakan sekerjanya ketika ini,” katanya.
Dilaporkan juga bahawa keluarga Leong terbang ke Melbourne dari Malaysia pada Khamis 24 Oktober lalu namun tidak menghadiri perbicaraan di mahkamah.
Hunter direman dan akan kembali ke mahkamah pada 16 Januari 2025. — The Star/N. TRISHA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram