Hamas sedia duduk semeja jika Israel setuju gencatan senjata


  • Benua
  • Jumaat, 25 Okt 2024

Hamas sedia berdamai dengan Israel tetapi rejim Zionis mesti patuh kepada perjanjian gencatan senjata.

PELUANG bagi menyaksikan tempoh kedamaian di Palestin mula menampakkan sinarnya apabila Hamas dan Israel dilaporkan bersedia untuk duduk semeja.

Kedua-dua pihak dilaporkan bersedia untuk mencari jalan memeterai perjanjian gencatan senjata bagi menamatkan konflik yang berlarutan lebih setahun.

Di pihak Hamas, pihak mereka sudah berbincang mengenai idea dan cadangan mengenai gencatan senjata bersama-sama pegawai negara Mesir di Kaherah.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak tahan kepala bertubi-tubi dibaling botol kaca, perompak Sepanyol akhirnya ambil langkah seribu

BACA LAGI: [VIDEO] Lima maut, 22 cedera pengganas serang kemudahan Turkish Aerospace Industries

"Hamas menzahirkan kesediaan untuk menghentikan konflik, tetapi Israel mesti komited kepada gencatan senjata, keluar dari Semenanjung Gaza, membenarkan kepulangan semula orang-orang yang berpindah, setuju kepada pertukaran serius banduan penjara dan membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza," kata Hamas.

Perbincangan masih lagi dilakukan di Kaherah dengan Mesir masih komited untuk memastikan gencatan senjata berjaya dicapai.

Di pihak Israel pula, mereka menyambut baik usaha Mesir itu dengan misi mereka mendapat semula rakyat mereka yang menjadi tawanan perang Hamas.

Israel dikatakan akan menghantar ketua pengintip mereka ke Mesir bagi menghadiri perbincangan berkenaan gencatan senjata bersama Hamas yang dilihat mampu menamatkan perang antara dua pihak.

Malah, Amerika Syarikat berpendapat pembunuhan ketua Hamas, Yahya Sinwar boleh membuka jalan kepada rundingan damai antara mereka dengan Israel.

Pertemuan tersebut akan diadakan di Doha, Qatar dengan Mesir turut memainkan peranan sebagai 'orang tengah' dalam rundingan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram