
MESKIPUN mempunyai keterbatasan, seorang peniaga berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) di India sanggup keluar mencari rezeki dengan menjual buah-buahan tepi jalan di kawasan lereng bukit.
Kisahnya yang mula tular di media sosial sejak Jumaat itu jelas menunjukkan semangatnya untuk tidak berputus asa dalam meneruskan kehidupan.
Namun, lebih menarik perhatian ramai apabila video dimuat naik pemilik akaun YouTube Ted kunchok pada 2021 itu memberi mesej kebaikan membantu golongan memerlukan.
Dalam video itu, kelihatan pemilik video menghampiri dan menyapa peniaga lelaki berkenaan yang sedang duduk menunggu pelanggan membeli beberapa bungkusan buah oren diletakkan di atas kain putih.
Ted yang kebetulan melalui kawasan tersebut juga tertarik untuk mengetahui kisah dan membantu peniaga dikenali sebagai Anu itu.
Anu menceritakan bagaimana dia menjual sebungkus buah oren dengan harga RM5 sejak sebelum Covid-19 bagi menyara keluarganya, namun pendapatannya mula berkurang selepas fasa pandemik itu berakhir.
Mendengar cerita itu, Ted mengambil keputusan untuk memborong semua buah yang dijual kerana kasihan dan prihatin terhadap nasib Anu.
Pada awalnya Anu menolak bantuan itu, namun Ted menyatakan bahawa sebungkus buah yang dibeli akan diberikan kepada ibunya.
Anu kemudiannya memberitahu bahawa dia juga terpaksa berniaga bagi membiayai keperluan ibunya yang sakit di rumah.
Sekali lagi mendengar kisah sedih itu, Ted bertindak memberi wang tambahan dan terus dimasukkan ke dalam poket baju Anu.
Tindakan itu sekali gus membuatkan Anu terharu dan terus mengucapkan terima kasih sambil menundukkan kepalanya sebagai tanda hormat sebelum bergegas mengemas barang untuk pulang.
Video tular itu secara tidak langsung memberi contoh dan inspirasi kepada masyarakat mengenai kepentingan berbuat baik dengan sesiapa sahaja. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram