[VIDEO] Bersyukur diberi peluang bekerja sejak 1970-an, warga Indonesia bangga Malaysia jadi pilihan terbaik cari rezeki


  • Massa
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Seorang pekerja Indonesia bersyukur diberi peluang mencari rezeki halal di Malaysia untuk menyara keluarganya. — Faecbook/Idhii Diniy

LAMBAKAN pekerja warga asing sering kali menjadi isu yang dibincangkan dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya dalam sektor pembinaan, perladangan dan perkilangan.

Peningkatan jumlah pekerja asing itu secara tidak langsung menimbulkan pelbagai reaksi dan perhatian ramai termasuk kerajaan.

Mana tidaknya, sehingga 15 Februari lalu, seramai 2,123,049 pekerja asing aktif di negara ini didaftarkan Jabatan Imigresen Malaysia.

BACA LAGI: [VIDEO] Hargai anak cari rezeki, ibu bapa boleh contohi aksi tentera Indonesia buat 'surprise'

BACA LAGI: [VIDEO] Padah main atas landasan, 4 termasuk kanak-kanak Indonesia maut digilis kereta api

Foreign workers working at a construction site in Kuala Lumpur, April 12, 2022. Groups are hoping the government should urgently process new foreign worker applications so they can be brought in quickly to overcome the shortage of workers, especially in the construction, plantation and manufacturing industries. — GLENN GUAN/The Star

Pekerja asing juga mempunyai jasa dan sumbangan dalam sektor pekerjaan di Malaysia. — Gambar hiasan/The Star

Warga Indonesia antara yang termasuk dalam jumlah tersebut diikuti Bangladesh, Nepal, Myanmar dan India.

Perkara itu bagaimanapun tidak dapat dihalang atau dihentikan kerana kehadiran mereka sedikit sebanyak memberi impak dalam perkembangan sosial, peningkatan ekonomi negara.

Pekerja asing yang berdokumen menyumbangkan kira-kira 14 peratus daripada kira-kira 15 juta jumlah tenaga tempatan.

Namun, tanpa kita sedar, Malaysia sebenarnya menjadi tempat mencari rezeki paling digemari oleh penduduk negara jiran lebih-lebih Indonesia.

Bagi sesetengah mereka, mencari rezeki dengan bekerja di negara ini merupakan pilihan terbaik untuk menambah pendapatan.

Sama seperti seorang pengguna akaun Facebook Idhii Diniy ChelseaNadhiwahh yang menzahirkan kesyukurannya kerana diberi peluang bekerja sebagai buruh kelapa sawit di Malaysia.

Screenshot (3599)

Tangkap layar video memaparkan pengguna Facebook yang merupakan warga Indonesia bekerja di Malaysia.

Dia yang merantau dari Masbagik, Nusa Tenggara Barat, Indonesia bertekad untuk merantau dengan tujuan memperbaiki kehidupan pada masa sama menimba pengalaman baharu di negara lain.

Merantau atau berhijrah juga merupakan sesuatu yang amat digalakkan lebih-lebih lagi dalam Islam seperti firman ALLAH dalam al-Quran;

"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan ALLAH; dan kepada ALLAH jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula". (Surah Al-Mulk: ayat 15)

Mengembara seperti dinyatakan bukanlah bermaksud semata-mata mahu mengecapi kenikmatan duniawi, bersiar-siar sambil swafoto dan memuat naik di laman sosial, tetapi bertujuan untuk menuntut ilmu dan digunakan ke arah kebaikan.

Menurutnya, tindakan bekerja di perantauan tidak hanya sebagai cara mengukuhkan kewangannya, malah sebagai jalan agar dapat menunjukkan contoh baik kepada penduduk-penduduk di kampung halamannya.

Meskipun menerima pelbagai tanggapan dan persepsi negatif daripada warga Indonesia lain kerana dianggap tidak mengangkat negara sendiri, lelaki tersebut tetap percaya bahawa merekalah yang perlu bangga dengan Malaysia.

"Kami sebagai tenaga kerja Indonesia harus bangga dengan Malaysia. Cuba fikir, sejak 70-an lagi sehingga sekarang Malaysia masih menjadi tempat mencari rezeki kami.

"Apa salahnya kita cinta pada sesebuah negara yang sudah mengubah ekonomi keluarga kami di Indonesia. Cinta itu sebagai rasa syukur kerana beri peluang pekerjaan kepada kita," katanya.

Bukan itu sahaja dia juga memuji cara layanan majikan tempatan yang sopan dan baik dengan pekerja asing.

Ia sekali gus menjadi faktor warga Indonesia sepertinya lebih tertarik dan sanggup terbang jauh demi mencari sesuap rezeki.

Sikapnya itu secara tidak langsung boleh menjadi contoh baik kepada pekerja Malaysia yang perlu sentiasa bersyukur dan tidak terlalu memilih dalam mencari sesuatu pekerjaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram