SEORANG remaja perempuan yang dikenali sebagai Windi nekad menyamar sebagai seorang lelaki untuk membolehkannya bekerja sebagai burun binaan di Bandung, Indonesia.
Keputusan itu diambil bagi membolehkannya mendapatkan pekerjaan demi mencari sumber pendapatan bagi menampung kehidupan adik-adiknya yang masih bersekolah meskipun masing-masing bukanlah keluarga kandungnya.
Ini kerana mereka hidup sebatang kara susulan tindakan kedua-dua ibu bapanya meninggalkan mereka beberapa tahun lalu yang menyaksikannya terpaksa tinggal bersama datuk neneknya.
Namun, tidak lama selepas itu, mereka meninggal dunia, sekali gus menyebabkannya ibarat kapal tanpa nakhoda dengan tiada sebarang wang ditinggalkan demi kelangsungan hidup.
Jadi, demi menampung perbelanjaan harian, gadis berkenaan terpaksa mengubah identitinya dengan mengenakan rambut pendek serta menggunakan nama samaran Egi.
"Saya buat begini sejak berusia 14 tahun dan hanya bersekolah dasar (sekolah rendah) sehingga Darjah Dua sahaja. Kini, saya sudah berusia 20 tahun dengan ibu bapa saya pergi tanpa meninggalkan sebarang peringatan.
"Saya cuma tinggal bersama tiga adik-adik yang lain, jadi kami hanya berempat sahaja. Saya hanya bekerja sebagai kuli bangunan, apa-apa demi adik saya dengan semuanya saya yang tanggung," katanya.
Windi (kiri) sanggup berkorban demi ketiga-tiga orang adiknya. — Agensi
Perkongsian tersebut dibuat dengan Windi gagal menahan sebak sepanjang meluahkan nasibnya itu memandangkan dia kini menjadi 'tulang belakang' keluarga kecil mereka.
Tegasnya, dia masih perlu bekerja keras dan tidak berputus asa supaya ketiga-tiga adiknya boleh menikmati sesuap nasi selain melanjutkan pelajaran di tahap persekolahan.
Selain itu, wang diterima daripada pekerjaan digunakan untuk mencari rumah yang selesa kerana mereka terpaksa berpindah-randah sebelum ini kerana bayaran sewa tertunggak.
Kisah menyentuh hati daripada Windi menyebabkan pengguna media sosial di Indonesia membuka tabung derma buat mereka yang menyaksikan wang sebanyak 935,140 rupiah (RM258.98) terkumpul. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram