Lama tak nampak, rupanya bek kaki kaca Terengganu berdarah Indonesia sudah 'balik kampung’


  • Podium
  • Rabu, 16 Okt 2024

Steenvoorden menyertai sebuah kelab baharu yang berpangkalan di Croatia, HNK Gorica. — Facebook/TFC

TIADA angin, tiada ribut, Terengganu FC (TFC) difahamkan kehilangan khidmat seorang bek tengah mereka iaitu Matthew Steenvoorden selepas kira-kira hanya enam bulan bergelar pemain skuad Sang Penyu.

Khabar berita berkenaan bukan diketahui dari pengumuman Terengganu namun Steenvoorden diperkenal secara rasmi sebagai pemain baharu bagi kelab berpangkalan di Croatia iaitu HNK Gorica menerusi Instagram.

Pada hantaran yang dimuat naik pada Rabu itu menyaksikan Gorica mengalu-alukan kehadiran semula bek berusia 31 tahun berkenaan susulan sebelum ini dia menyarung jersi Selangor HNK Gorica dari musim 2019 hingga 2023.

BACA LAGI: Bagi 'hint' sarung jersi no.4, Matthew Steenvoorden sah 'dipeluk' Sang Penyu

BACA LAGI: Steenvoorden masih belum 'solid', fans TFC desak rekrut bekas import Sang Penyu

"Setahun dan tiga bulan selepas mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya dan meninggalkan HNK Gorica, Steen yang kami sayangi sekali lagi menjadi sebahagian daripada pasukan," memetik hantaran kelab itu.

Melihat kembali momen Steenvoorden bersama Terengganu pada setengah musim ini, bek tengah warisan Indonesia itu tidak terlalu meninggalkan impak positif susulan kecederaan yang dialaminya pada awal musim ini.

Masalah kecederaan lutut yang menimpa Steenvoorden pada aksi pramusim memaksa bek berketinggian 1.88 meter hanya mencatat empat penampilan bersama Terengganu dalam kempen Liga Super.

Rentetan isu kecederaan itu. penyokong Terengganu pernah mencadangkan agar pihak pengurusan skuad Sang Penyu untuk merekrut pertahanan baharu bagi menggantikan Steenvoorden menjelang jendela perpindahan Ogos ini.

Seperti rintihan didengari, Terengganu akhirnya melepas khidmat Steenvoorden. Dengan keadaan terkini, skuad Sang Penyu pasti sedang mencari pengganti sesuai dari skuad kedua mereka untuk mengisi kekosongan di bahagian pertahanan.

Untuk rekod, Steenvoorden tiba dengan reputasi tersendiri susulan pernah beraksi dalam beberapa kelab di liga Belanda, seperti Feyenoord dan SC Cambuur.

Selain itu, bekas pemain bawah 19 tahun Belanda itu pernah membantu bekas pasukannya, Pakhtakor Tashkent di liga utama Uzbekistan untuk mempertahankan kejuaraan kali keempat berturut-turut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram