SEORANG kelasi maut selepas berlaku letupan gas di atas kapal tangki dalam kejadian di Rusia pada 22 September lalu.
Berdasarkan maklumat sumber, kejadian berlaku ketika lelaki berkenaan menjalankan kerja-kerja pembersihan sauh di atas kapal tangki seperti kebiasaannya.
Insiden itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kapal tersebut sebelum dikongsikan di laman X (Twitter) baru-baru ini.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
"Tangki-tangki tersebut biasanya dibuka pada pukul 8 pagi, kemudian pukul 9 pagi mereka akan mengepam air antara tangki sebelum kerja itu selesai dua jam kemudian.
"Pada pukul 1 petang, kru kapal akan mula menukar getah, yang memerlukan pembersihan tempat sauh dengan menggunakan berus logam," katanya.
Menurut sumber tersebut, kelasi itu dilihat duduk di atas dek dan melunjurkan kakinya sebelum letusan api setinggi empat meter berlaku tidak lama kemudian.
"Kelasi itu berpusing lima hingga enam kali di udara dan kemudian jatuh ke lantai dengan kuat," ujarnya.
Akibat insiden itu, lelaki berkenaan mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang tengkorak, kerosakan paru-paru dan 60 peratus tubuhnya terbakar tahap dua.
"Sewaktu helikopter ambulans membawanya ke hospital, dia masih hidup tetapi tidak sedarkan diri.
"Bagaimanapun, kecederaannya terlalu parah, dia tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada keesokan harinya," maklum sumber itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram