[VIDEO] Nahas bas sekolah terbakar Thailand: Jasad guru ditemukan peluk pelajar, baru seminggu konvokesyen


  • Benua
  • Khamis, 03 Okt 2024

Pasukan penyelamat yang menemui mayat Kanokwan melaporkan dia ditemui dalam keadaan sedang mendakap seorang murid. — Agensi

SERAMAI 22 murid dan tiga guru maut dilaporkan terkorban dalam insiden kebakaran bas di Jalan Vibhavadi Rangsit di wilayah Pathum Thani dekat Bangkok, Thailand, pada Selasa.

Bas yang dinaiki semua 44 murid berumur tiga dan sembilan tahun bersama guru mereka dari Sekolah Wat Khao Phraya Sangkharam di Uthai Thani dalam perjalanan ke Taman Bersejarah Ayutthaya dan Pusat Pembelajaran Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand di Nonthaburi.

Tiga guru yang turut terkorban iaitu Kanokwan Sriphong, Pimthong Sombat dan guru pelatih, Sarinya Homkason diangkat sebagai wira sebenar atas usaha mereka melindungi anak-anak murid sehingga ke akhir hayat.

BACA LAGI: [VIDEO] Angkara tayar pecah langgar pengadang jalan, lebih 20 dikhuatiri maut bas sekolah terbakar di Thailand

BACA LAGI: 'Ratu contest' gemar doodle di malam hari, anggap lukisan terapi kesihatan mental

Kanokwan dikatakan baru sahaja menerima ijazahnya dengan anugerah kelas kedua dalam pendidikan rendah, dalam majlis konvokesyen pada 26 September lalu.

Pada hari bermakna itu, wanita berkenaan sempat merakam gambar kenangan bersama ibu, dalam keadaan kedua-duanya tersenyum gembira.

Menurut satu hantaran di Facebook Khaosod English, kejadian menimpa Kanokwan diketahui keluarganya selepas mereka gagal menghubungi guru itu.

Pasukan penyelamat yang menemui mayatnya melaporkan bahawa dia ditemui dalam keadaan sedang mendakap seorang murid.

Sementara itu, seorang lagi guru, Pimthong yang dikenali sebagai Teacher Joy, baru-baru ini dianugerahkan pingat perak atas kecemerlangannya dalam mengajar subjek Sejarah dan kewarganegaraan.

download

Dari kiri: Pimthong, Kanokwan dan Sarinya diangkat sebagai hero sebenar dalam kejadian kebakaran itu. — Agensi

Sementara Sarinya pula bakal menamatkan tempoh latihannya tidak lama lagi.

Dedikasi dan keberanian para guru ini dalam melindungi murid mereka telah menyentuh hati banyak pihak.

Dalam perkembangan sama, polis Thailand dilaporkan akan mendakwa pemandu bas sekolah yang terbakar itu.

Pemangku Ketua Pesuruhjaya Polis Diraja Thailand, Pol Jen Kittharath Punpetch berkata, pemandu itu menyerah diri pada lewat petang Selasa dan kini disoal siasat di balai polis Khu Khot.

WhatsApp Image 2024-10-03 at 09.25.06

Pemandu bas (kanan) itu menyerah diri pada lewat petang Selasa. — Agensi

Menurutnya, pemandu tersebut akan didakwa di bawah Kanun Keseksaan kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.

"Suspek mengaku bersalah dan penyiasat menahannya di balai polis Khu Khot.

"Penyiasat telah menemu bual saksi, mengumpul bukti dari tempat kejadian dan meneliti rakaman CCTV (kamera litar tertutup)," kata Kittharath dalam sidang akhbar pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan, insiden kebakaran itu berlaku apabila tayar bas tersebut pecah dan menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan di sebelah kanan dan mencetuskan kebakaran.

Murid-murid berkenaan menaiki tiga bas berasingan dan kebakaran berlaku terhadap bas yang ketiga atau terakhir. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram