[VIDEO] Israel lepas tembakan ke ibu pejabat UNIFIL di Lubnan, anggota pengaman Indonesia antara 2 tercedera


  • Benua
  • Jumaat, 11 Okt 2024

Ibu pejabat UNIFIL di Naqura, yang terletak di Selatan Lubnan. — Agensi

PASUKAN Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) berkata, tentera Israel melepaskan tembakan ke arah ibu pejabat mereka di selatan Lubnan pada Khamis dan mencederakan dua anggotanya.

Israel mengakui tenteranya melepaskan tembakan di kawasan tersebut dan menggunakan alasan kehadiran Hizbullah yang didakwa beroperasi berhampiran pos berkenaan.

Itali, penyumbang utama kepada pasukan itu berkata, tindakan tersebut 'boleh dianggap sebagai jenayah perang' sementara Amerika Syarikat (AS) melahirkan kebimbangannya terhadap perkembangan terbabit.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Insiden berkenaan berlaku selepas UNIFIL pada minggu lalu menolak tuntutan Israel untuk misi itu 'berpindah' daripada beberapa kedudukannya.

UNIFIL yang mempunyai kira-kira 10,000 pasukan pengaman ditempatkan di selatan Lubnan menggesa gencatan senjata sejak peningkatan ketegangan antara Israel dan Hizbullah pada 23 September lalu selepas setahun berlaku berbalas tembakan rentas sempadan.

“Pagi ini, dua pasukan pengaman cedera selepas sebuah kereta kebal IDF (Tentera Israel), Merkava melepaskan tembakan ke arah menara pemerhatian di ibu pejabat UNIFIL di Naqura, sehingga menyebabkannya runtuh,” kata jurucakap UNIFIL.

Menurutnya, anggota pengaman terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan serius namun kekal dirawat di hospital.

Jurucakap UNIFIL berkata, anggota yang tercedera berasal dari Indonesia, iaitu antara negara penyumbang utama tentera kepada UNIFIL.

Duta Besar Indonesia di PBB, Hari Prabowo berkata, insiden itu 'jelas menunjukkan bagaimana Israel meletakkan dirinya di atas undang-undang antarabangsa dan di atas nilai keamanan bersama.'

Israel berkata, tenteranya 'melepaskan tembakan di kawasan' pangkalan UNIFIL selepas memberitahu pasukan PBB untuk mencari perlindungan.

Menteri pertahanan Itali, Guido Crosetto berkata, serangan tersebut dan insiden lain yang berlaku terhadap UNIFIL 'boleh membawa kepada jenayah perang', dan meminta penjelasan kerana menyifatkan 'ia bukan satu kesilapan'.

Guido menyifatkan tembakan itu sebagai tidak boleh diterima sama sekali dan turut menimbulkan bantahan dengan rakan sejawatannya dari Israel dan duta negara itu ke Itali.

Sementara itu, Kementerian luar Sepanyol berkata, ia mengutuk sekeras-kerasnya tembakan Israel yang ke ibu pejabat UNIFIL yang disifatkan sebagai pelanggaran besar undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri Ireland, Simon Harris, yang negaranya mempunyai kira-kira 370 tentera dalam misi itu berkata, sebarang tembakan di sekitar kawasan tentera atau kemudahan UNIFIL adalah tindakan melulu dan mesti dihentikan.

Menurut UNIFIL, Israel juga telah menghalakan serangan pintu masuk ke kubu tempat pasukan pengaman berlindung dan merosakkan kenderaan dan sistem komunikasi.

Misi itu menambah bahawa sebuah dron tentera Israel turut diperhatikan terbang di dalam kedudukan UNIFIL sehingga ke pintu masuk kubu atau bunker.

6073630781214932031

Lacroix berkata, kehadiran anggota UNIFIL di kedudukan yang terjejas dengan serangan terbabit akan dikurangkan sebanyak 25 peratus. — Agensi

Pasukan tersebut berkata, ibu pejabat UNIFIL dan kedudukan pasukannya yang berada berdekatan juga sudah berulang kami terkena tembakan dilepaskan.

Pada Rabu, UNIFIL berkata, askar IDF dilapor sengaja menembak dan melumpuhkan kamera pemantau perimeter di sekitar kedudukan misi tersebut.

Ketua pasukan pengaman PBB, Jean-Pierre Lacroix berkata, pasukan pengaman berada dalam 'risiko cukup serius'.

Susulan daripada itu, seramai 300 anggota pengaman dipindahkan buat sementara waktu ke pangkalan lebih besar.

Katanya, kehadiran anggota UNIFIL di kedudukan yang terjejas dengan serangan terbabit akan dikurangkan sebanyak 25 peratus.

"Keselamatan dan perlindungan terhadap pasukan pengaman kini semakin terancam," kata Lacroix kepada Majlis Keselamatan PBB pada Khamis.

UNIFIL ditubuhkan pada 1978 untuk memantau pengunduran tentera Israel selepas mereka menyerang Lubnan sebagai balasan atas serangan Palestin.

Ia disokong oleh Resolusi Majlis Keselamatan 1701 selepas Hizbullah dan Israel berperang pada 2006, dan pasukan pengamannya ditugaskan untuk memantau gencatan senjata antara kedua-dua pihak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram