PENDUDUK Jalan Burung Garuda di Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur menggesa pihak berkuasa untuk membersihkan lalang di belakang rumah teres mereka, susulan video yang menunjukkan kucing peliharaan penduduk bergelut dengan seekor ular.
Kawasan tanah tersebut terletak kira-kira 9meter dari rumah terdekat dan video berdurasi 11 saat itu menunjukkan seekor kucing menggigit reptilia tersebut di kepala sebelum melemparkannya ke tanah.
Dalam pertempuran antara mamalia dan reptilia itu, kucing itu diisytiharkan sebagai pemenang.
BACA LAGI: [VIDEO] Masih perlu diteliti, Kabinet belum buat keputusan langkah hapus subsidi pendidikan anak T20
BACA LAGI: Selangor tubuh pasukan khas pulihkan anak-anak GISB
Pakar haiwan mengenal pasti reptilia itu adalah sejenis ular tedung.
Meskipun ia masih kecil, namun bisanya sekuat ular matang yang mampu membawa maut.
Penduduk Jalan Burung Garuda berkata, insiden yang berlaku pada seminggu lalu itu bukanlah kejadian terpencil.
Mereka mendakwa, kemunculan ular di kawasan kejiranan tersebut sudah menjadi perkara biasa kerana terlalu banyak lalang di belakang rumah sekali gus, menjadikan mereka risau tentang keselamatan.
"Kawasan di belakang rumah kami sudah lama ditinggalkan tanpa penduduk," kata penduduk Lim Tong Foo, 70.
"Malah ada penduduk mengambil kesempatan daripada situasi tersebut untuk membina sambungan haram bagi menyimpan bahan binaan, tanpa sebarang tindakan diambil terhadapnya.
"Tambahan pula, longkang sudah lama tidak dibersihkan.
"Akibatnya, longkang itu tersumbat dan dijadikan tempat pembiakan nyamuk sehingga menyebabkan peningkatan kes denggi di kawasan kejiranan kami," kata Lim yang menetap di Taman Bukit Maluri sejak 40 tahun lalu.
Lim dan beberapa penduduk yang lain menyatakan kebimbangan mereka semasa sidang media anjuran aktivis sosial Yee Poh Ping.
Memandangkan tanah tersebut berdekatan dengan KTM Kepong, Yee menggesa Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang menguruskan aset kereta api KTMB untuk menyelenggara dan menaik taraf kawasan di bawah semakan mereka.
"Ini akan meningkatkan kebersihan kawasan persekitaran bagi pengguna pengangkutan awam dari Taman Bukit Maluri dan Bandar Manjalara serta menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam," kata Yee.
Ketika dihubungi, RAC dalam satu kenyataan media kepada StarMetro berkata, kawasan itu berada di bawah rizab tanahnya, di mana sebahagian daripada laluan pejalan kaki itu menghubungkan ke Stesen KTM Kepong.
"Bagi memastikan kawasan itu terus diselenggara, kekerapan membersihkan kawasan tersebut akan ditingkatkan kepada sebulan sekali bermula hujung tahun ini, berbanding dua bulan sekali sebelum ini.
"Kami akan mengambil tindakan segera untuk membersihkan tumbuh-tumbuhan yang banyak di belakang rumah penduduk," kata RAC.
Mengenai pencerobohan haram, RAC berkata, sebanyak 15 rumah membina sambungan haram di atas tanah RAC.
"Ini ditemui semasa lawatan tapak yang dijalankan pada 7 Oktober.
"Notis akan dikeluarkan kepada pemilik rumah untuk mengosongkan kawasan itu.
"Hal ini juga akan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut," kata RAC. — TheStar/GRACE CHEN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram