SEORANG atlet yang mewakili Johor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Kuala Lumpur dua tahun lalu meninggal dunia selepas mengalami kanser usus.
Berita pemergian arwah Intan Rohayu Nabila Mohd Yunus diumumkan di laman Facebook Majlis Sukan Negeri Johor - MSNJ pada Sabtu.
"Salam takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarhamah Intan Rohayu Nabila binti Mohd Yunus, atlet menembak SUKMA Johor yang kembali ke rahmatullah. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman," tulisnya.
BACA LAGI: Lupakan trauma kemalangan dirempuh lori 10 tan, Elvsius John lengkapkan hatrik emas di Kuching
BACA LAGI: SUKMA 2024: Atlet basikal bawa pulang pingat emas pertama buat Perak
Intan menyertai karnival menembak dalam kategori berkumpulan. — Facebook/MSN Johor
Berdasarkan perkongsian kakak kepada arwah, atlet menembak itu meninggal dunia akibat kanser usus dengan perkara itu diketahui kira-kira empat hari sebelum sambutan Aidilfitri tahun ini.
"Selepas didiagnos, kesihatan arwah sudah merosot dan arwah sudah tidak dapat meneruskan latihan untuk SUKMA. Arwah juga baru sahaja menerima keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan ketika itu, dia memang sudah sakit.
"Keputusan UPU atas talian juga sudah diterima dan arwah menerima tawaran menyambung pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam jurusan Pendidikan Seni Visual. Tetapi, hasrat tidak kesampaian untuk meneruskan pembelajaran kerana rancang untuk menangguh semester sementara fokus berubat," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya lagi, arwah juga sudah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Linau Kecil, Bukit Pasir, Batu Pahat, Johor pada pukul 10 pagi Sabtu.
Majoriti juga sudah menghubungi Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor, Ekmaluddin Ishak untuk memperoleh maklumat lanjut, namun masih belum menerima sebarang respons.
Allahyarhamah pernah menyertai pelbagai kejohanan menembak sebelum ini, termasuk ketika temasya SUKMA 2022 dan Kejohanan Menembak Kebangsaan pada September 2023.
Bagaimanapun, dalam temasya yang diadakan di Sarawak pada Ogos lalu, Intan tidak bersaing dengan kontinjen Johor menghantar atlet menembak lain.
Sepanjang menceburi sukan berkenaan, dia pernah meraih pelbagai kejayaan, termasuk meraih pingat emas Kejohanan Menembak Pelapis & Bakat peringkat kebangsaan sirkit 1/2022 — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram