KERAJAAN Indonesia mengesahkan tidak membenarkan penjualan telefon pintar terbaru Apple, iaitu iPhone 16 di negara tersebut.
Menteri Perindustrian Agus Gumiwang Kartasasmita berkata, Apple masih belum memenuhi persijilan Tahap Komponen Domestik (TKDN) tempatan yang sedia dilaksanakan di negara tersebut.
Peraturan itu meliputi keperluan pelaburan dan juga memperbaharui persijilan Tahap Komponen Domestik (TKDN) tempatan .
BACA LAGI : Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan
Kelewatan dikaitkan dengan tamatnya TKDN milik Apple yang perlu diperbaharui, serta kekurangan dalam pelaburan yang dijanjikan berjumlah 1.71 trilion rupiah (kira-kira RM467.5 juta).
Apple sebelum ini memegang persijilan ini, tetapi ia telah tamat tempoh.
Agus menyatakan bahawa kementerian juga sedang menunggu gergasi teknologi itu untuk memenuhi janji pelaburannya.
Setelah keperluan dipenuhi, produk Apple akan layak mendapat nilai TKDN 40 peratus, membolehkan Siri iPhone 16 dan produk lain yang didayakan rangkaian mudah alih memasuki semula pasaran Indonesia.
Sebelum ini, Apple telah memperoleh persijilan yang diperlukan untuk menjual produknya di negara tersebut, tetapi tamat tempoh lesen TKDN dan kekurangan dalam komitmen pelaburannya menyebabkan larangan semasa.
Setakat ini, hanya 1.48 trilion rupiah (RM405.76 juta) telah direalisasikan masih kekurangan kira-kira 240 bilion rupiah, kata Agus sambil berharap syarikat itu akan memenuhi komitmen pelaburannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram