Bayi usia setahun antara 2 kanak-kanak diselamatkan polis lepas dikurung ibu di Ampang


  • 112
  • Jumaat, 11 Okt 2024

Dua kanak-kanak yang terkurung di dalam rumah mereka disyaki ditinggalkan dua hari oleh ibunya berjaya diselamatkan oleh polis baru-baru ini. — Gambar Hiasan/GettyImage

DUA kanak-kanak yang terkurung di dalam rumah mereka disyaki ditinggalkan selama dua hari oleh ibunya berjaya diselamatkan oleh polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian itu berlaku di Taman Kosas dekat Bandar Baru Ampang, Selangor pada 7 Oktober lalu.

Sebelum itu, polis telah menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan dua beradik lelaki berusia setahun sebulan dan enam tahun itu terkurung lama di dalam rumah mereka tanpa penjaga atau ibu bapa mereka.

"Bertindak atas aduan itu, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sebelum berjaya menyelamatkan kedua-dua kanak-kanak terkurung di dalam rumah tersebut.

BACA LAGI : 'Tirai hitam' Kemboja, kesan darah 'melekat' 5 dekad jadi saksi betapa peritnya hidup bawah rejim Khmer Rouge

BACA LAGI : Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan

kl25-12062023-polis-ampang_4618818_20241009220325

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail

"Kedua-dua kanak-kanak lelaki yang diselamatkan oleh polis telah dibawa ke hospital bagi pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan parut lama dan baru di seluruh badan mereka.

"Sehingga sekarang masih dirawat di Hospital Ampang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bertindak atas maklumat pada 9 Oktober lalu, polis berjaya membuat tangkapan ke atas wanita tempatan berumur 41 tahun yang merupakan ibu kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut.

"Suspek itu telah dihadapkan ke Mahkamah Ampang dan dibenarkan direman selama tujuh hari sehingga 16 Oktober ini bagi membantu siasatan polis

"Semakan lanjut polis mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau tidak dikehendaki," ujarnya.

Polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti motif kejadian itu dan kes dikendalikan di bawah Seksyen 31(1)/ 33 Akta Kanak-kanak 2001 merujuk kepada penderaan dan pengabaian kanak-kanak dan boleh dipenjara sampai 20 tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram