[VIDEO] Doktor di China buang tumor pesakit sejauh 5,000km guna teknologi robotik


  • Benua
  • Rabu, 09 Okt 2024

Beberapa doktor ditugaskan untuk membantu Dr Luo Qingquan yang mengetuai pembedahan sejauh 5,000km tersebut. — Agensi

PERKEMBANGAN teknologi hari ini membawa manfaat kepada pelbagai bidang, termasuk perubatan yang menyaksikan orang ramai semakin mudah untuk mendapatkan akses kepada bantuan bersifat sistematik.

Contoh terbaik kepada kemajuan teknologi dalam bidang berkenaan dapat disaksikan apabila baru-baru ini, seorang penghidap kanser paru-paru di China tidak perlu melaburkan wang jutaan ringgit untuk menjalani pembedahan.

Ini kerana perkembangan sistem perubatan di negara Asia berkenaan membolehkan prosedur berkenaan dilakukan sekumpulan doktor menggunakan komputer untuk membuang tumor di organ pernafasannya itu.

BACA LAGI: Polis cekup 6 warga China terlibat rompakan di 4 negeri

BACA LAGI: [VIDEO] Pusat beli-belah di China nyaris rentung angkara budak lelaki bermain api

Menariknya, operasi itu dijalankan pada 13 Julai lalu dengan tukang bedah berada di Hospital Dada Shanghai yang terletak sejauh kira-kira 5,000 kilometer (km) daripada pesakit yang ditempatkan di Kashgar, Xinjiang sekitar kawasan Barat China.

Pakar bedah yang ditugaskan, Dr Luo Qingquan berkata, pembedahan itu dilakukan menggunakan teknologi 5G yang membolehkan prosedur dijalankan tanpa sebarang komplikasi kesihatan.

Berdasarkan laporan dari China, pembedahan itu merupakan kali pertama ia dibuat dari jarak jauh di negara berkenaan dengan bantuan sistem robotik yang pasti akan merancakkan lagi penggunaannya pada masa akan datang.

Ini sekali gus menunjukkan teknologi robotik semakin berkembang dalam dunia perubatan, lebih-lebih lagi buat negara yang berdepan isu kesukaran untuk mendapatkan akses kesihatan selain kekurangan pakar bedah.

Malah, di beberapa negara lain seperti India, pembedahan jarak jauh pernah dijalankan menggunakan teknologi robotik untuk membantu pesakit mengalami isu jantung.

Walaupun prosedur itu tidak dilakukan sejauh operasi yang diadakan di China, pembedahan sedemikian pasti akan merancakkan lagi perkembangan teknologi dalam bidang berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram