BAYI yang meninggal dunia dalam perjalanan bas selama enam jam bersama ibunya dari Kuching ke Sarikei, Sarawak awal bulan ini dipercayai meninggal dunia akibat komplikasi sepsis dan meningitis (jangkitan selaput otak).
Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Dr Ooi Choo Huck berkata, ia berdasarkan laporan yang diperoleh daripada temu bual dengan ibu bapa bayi, rekod perubatan dan pemeriksaan fizikal mayat.
“Sehubungan itu, kami menasihatkan orang ramai supaya segera membawa bayi atau anak mereka ke klinik atau hospital berhampiran jika mereka tidak sihat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Ooi, laporan akhir penyiasatan berhubung kejadian itu menunjukkan bayi tersebut meninggal dunia di dalam bas ketika dalam perjalanan ke Sarikei untuk mendapatkan rawatan tradisional.
Kematian bayi berusia tiga bulan di perhentian bas Jelukong di Sri Aman, kira-kira 208 kilometer dari Kuching, pada 4 Disember lalu, tular di media sosial.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan jabatan itu pada 9 Disember lepas, ibunya menyedari bayi itu tidak bernafas ketika bas berhenti di Jelukong.
Bayi itu dibawa ke Hospital Betong, kira-kira 28 kilometer dan disahkan meninggal dunia.
Bedah siasat tidak dilakukan selepas perbincangan antara pihak pengurusan hospital, polis dan ahli keluarga.
Mayat bayi itu dibawa pulang oleh ahli keluarga dan dikebumikan di tanah perkuburan Ulu Pakan di Sarikei. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram