MISTERI kehilangan seorang kanak-kanak berusia empat tahun akhirnya terungkai selepas mayatnya ditemui di bawah sebuah pencawang elektrik di Simpang Pulai, Jambi, Indonesia pada Ahad.
Kejadian menyayat hati itu tular di media sosial, dengan orang ramai yang berada di lokasi kejadian turut berkongsi keadaan mayat budak lelaki itu menerusi laman X (Twitter).
Menurut laporan media tempatan, kanak-kanak malang tersebut ditemui dalam keadaan mayatnya sudah mereput dan tubuhnya bertukar menjadi hitam.
BACA LAGI: [VIDEO] Anggota tentera selisih maut, tersangkut tiang lampu ketika mendarat guna payung terjun
BACA LAGI: Operasi Malbatt di Lubnan dihentikan, anggota tentera kena berlindung dalam 'bunker drill'
Difahamkan, penduduk setempat hanya menyedari tentang kejadian itu selepas mencium bau busuk dari lokasi mayat kanak-kanak itu ditemui, baru-baru ini.
Timbul dakwaan yang mengatakan budak lelaki itu menjadi mangsa pembunuhan, susulan keadaan mayatnya yang mengerikan, dengan bola matanya sudah hilang dan terdapat lubang di perut serta belakang badannya.
Sementara itu, keluarga mangsa difahamkan sudah membuat laporan polis mengenai kehilangannya beberapa hari sebelum penemuan mayatnya.
Berdasarkan kronologi kejadian, kanak-kanak malang berkenaan dilaporkan hilang selama seminggu bermula 29 September lalu ketika bermain bersama rakan-rakannya di kawasan berhampiran sistem saliran yang tidak jauh dari rumahnya.
Penduduk setempat turut menyaksikan mangsa bermain bersama rakannya sehingga malam.
Mayat kanak-kanak itu ditemui di bawah sebuah pencawang elektrik di Simpang Pulai, Jambi, Indonesia pada Ahad.
Nenek mangsa, Elin berkata, setelah beberapa ketika, dia mulai sedar bahawa cucunya masih belum pulang ke rumah.
"Ramai penduduk yang nampak dia bermain, (kami) menunggunya sampai malam tetapi tidak juga pulang," katanya pada Ahad.
Apabila mangsa tidak kembali, keluarga mula bertanya kepada penduduk sekitar mengenai keberadaan mangsa, namun gagal menemuinya.
Keluarga mangsa kemudian membuat laporan berkenaan kehilangan kanak-kanak itu kepada pihak polis pada 30 September lalu.
Sehingga berita ini dilaporkan, media masih berusaha mendapatkan keterangan lanjut daripada pihak polis berhubung kejadian itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram