[VIDEO] Cef bawa pisau disangka pembunuh, penumpang tren panik lari 'minta nyawa'


  • Benua
  • Ahad, 25 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan kekecohan dalam kereta api di Jepun selepas menyedari terdapat seorang individu memegang pisau berada di dalam tren berkenaan.

PENUMPANG sebuah kereta api di Jepun berdepan detik cemas selepas menyedari terdapat seorang individu yang dilihat memegang pisau berada di dalam tren berkenaan.

Memetik laporan agensi NHK, insiden itu menyebabkan kebanyakan penumpang cuba melarikan diri keluar dari tren tersebut dalam keadaan panik hingga menyebabkan dua lelaki mengalami kecederaan akibat terjatuh.

Bagaimanapun, individu yang mencetuskan kekecohan di dalam kereta api Laluan Yamanote di Stesen JR Shinjuku itu berjaya diberkas polis yang bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan.

Setibanya di stesen berkenaan, lelaki itu sudah meletakkan pisau kepunyaannya di atas tempat duduk di dalam kereta api.

Namun, polis mendapati tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan bahawa lelaki berkenaan bertindak agresif terhadap orang awam menggunakan senjata itu, lapor akhbar Mainichi Shimbun.

Dalam pada itu, pegawai penyiasat memaklumkan, lelaki tersebut mendakwa dirinya sebagai tukang masak, manakala pisau yang dibalut dengan kain tuala itu sebenarnya dibawa dari tempat kerjanya.

Katanya lagi, pisau itu terdedah apabila tuala tersebut tertanggal dan dilihat oleh penumpang lain yang berada di situ.

Untuk makluman, perkhidmatan Laluan Yamanote digantung selama kira-kira 20 minit bermula dari pukul 4 petang sebagai langkah keselamatan.

Walaupun sudah beroperasi seperti biasa pada Ahad, namun ia mengalami sedikit kelewatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram