Kematian pemimpin Hizbullah, Malaysia selar tindakan biadab rejim Israel


  • Primer
  • Ahad, 29 Sep 2024

Mohamad turut menyeru Majlis Keselamatan PBB supaya menggunakan kuasa di bawah Bab 7 untuk mengenakan sekatan senjata dengan segera terhadap Israel. — Ihsan Datuk Seri Mohamad Hasan

MALAYSIA menyatakan kekesalan yang mendalam terhadap tindakan biadab Israel berikutan pembunuhan pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, dengan menyifatkan negara Yahudi itu angkuh dan tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bercakap kepada media selepas menyampaikan kenyataan kebangsaan pada Perhimpunan Agung PBB ke-79, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel yang tidak mengendahkan pandangan atau keputusan masyarakat antarabangsa.

“Kami amat kesal. Israel kini telah menjadi sebuah negara yang amat biadab, angkuh, dan tidak ambil peduli terhadap cadangan, pandangan dan keputusan yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Mereka sudah melepasi batas, dan kita perlu mengambil tindakan drastik untuk membendung kebiadaban mereka,” tegas Mohamad pada Sabtu.

BACA LAGI: Hizbullah sahkan Hassan Nasrallah terkorban dalam serangan udara Israel

BACA LAGI: Tentera Israel dakwa Ketua Hizbullah terbunuh dalam serangan udara di Beirut

Beliau menekankan keperluan untuk mengenakan sekatan senjata ke atas Israel bagi menghalang negara itu daripada terus menggunakan senjata untuk membunuh rakyat tidak bersalah, terutamanya wanita dan kanak-kanak.

"Jika kita tidak mengambil tindakan segera, kebiadaban ini akan berterusan. Hari demi hari, tahun demi tahun, kita hanya bersuara seperti ‘anjing menyalak bukit’, tetapi tiada apa-apa perubahan.

Saya juga menyatakan perkara ini kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan beliau turut menyatakan rasa kesal terhadap situasi ini,” kata beliau.

Terdahulu ketika sesi penyampaian kenyataan negara, Mohamad turut menyeru Majlis Keselamatan PBB supaya menggunakan kuasa di bawah Bab 7 untuk mengenakan sekatan senjata dengan segera terhadap Israel dan menekankan pentingnya menghentikan keganasan dan memastikan akauntabiliti atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.

WhatsApp Image 2024-09-29 at 10.32.00

Hassan Nasrallah terbunuh dalam serangan udara Israel di ibu negara Lubnan, Beirut pada Sabtu.

Hizbullah pada Sabtu mengumumkan bahawa Setiausaha Agungnya, Hassan Nasrallah telah terkorban dalam serangan udara rejim Zionis di pinggir bandar selatan Beirut, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan, Hizbullah menyatakan bahawa Setiausaha Agung Hizbullah iaitu Seyyed Hassan Nasrallah telah menyertai rakan-rakan syahidnya yang agung dan abadi, meninggalkan jalannya dipimpinnya selama kira-kira 30 puluh tahun, akhirnya gugur di jalan menuju Baitulmuqaddis serta Palestin.

Hizbullah menekankan kepimpinan Nasrallah selama berdekad dalam penentangan terhadap Israel, sambil menyatakan bahawa dedikasinya kepada perjuangan pembebasan Palestin telah mendefinisikan kehidupannya dan kini 'kesyahidannya'.

Nasrallah, yang menjadi Setiausaha Agung Hizbullah sejak 1992, memainkan peranan penting dalam pergerakan penentangan dari Lubnan, terutamanya dalam konfrontasi dengan tentera Israel. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram