Jururawat China sanggup tinggalkan pengantin wanita, demi selamatkan tetamu majlis kahwin sendiri


  • Benua
  • Selasa, 17 Sep 2024

Tindakan Lukun (gambar kecil) seorang pengantin lelaki menyelamatkan seorang tetamu yang tiba-tiba rebah ketika majlis perkahwinannya masih lagi menjadi bualan warga maya sehingga kini. — Agensi

TINDAKAN seorang pengantin lelaki menyelamatkan seorang tetamu yang tiba-tiba rebah ketika majlis perkahwinannya masih lagi menjadi bualan warga maya sehingga kini.

Manakan tidak, dalam kejadian yang berlaku pada tahun lalu itu, seorang jururawat lelaki, Feng Lukun, sedang meraikan hari istimewanya sebagai pengantin baharu bersama isteri dan keluarga di Bandar Huaian dekat wilayah Jiangsu, China.

Namun, suasana gembira itu bertukar cemas apabila seorang lelaki tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

BACA LAGI: Enggan tragedi menimpa ayah sebelum Zuhur berulang, Azizul nekad buka akademi tawar latihan CPR, AED

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

Dalam keadaan panik itu juga kedengaran seorang wanita menjerit meminta pertolongan.

"Ada orang pengsan! Ada doktor atau jururawat di sini?," jerit wanita berkenaan.

Lukun 1

Lukun (kiri) memberikan bantuan awal kepada tetamu yang rebah akibat sawan di majlis perkahwinannya sendiri. — Agensi

Tanpa berlengah, Lukun, yang pada ketika itu sedang menyambut tetamu bersama isterinya terus bergegas ke arah mangsa.

Malah, lebih mengharukan lagi, isteri Lukun yang turut mendengar jeritan wanita itu terus meminta Lukun membantu mangsa.

"Selamatkan nyawa lelaki itu dulu. Saya tunggu awak di sini," katanya.

Insiden pasangan pengantin tersebut ternyata turut dirakam para tetamu yang hadir sehingga menjadi tular di media sosial sehingga kini.

Melalui video tersebut kelihatan Lukun meminta tetamu di majlis itu untuk menghubungi membuat panggilan kecemasan sebelum meletakkan kain ke dalam mulut mangsa bagi mengelakkannya daripada menggigit lidah sekali gus mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Dalam satu temu bual bersama media antarabangsa, Lukun berkata, mangsa dipercayai mengalami serangan sawan.

Tidak lama kemudian, beberapa rakan sekerjanya dari jabatan kecemasan yang menghadiri majlis perkahwinan datang membantu sebelum mangsa dihantar ke hospital

Media tempatan Huaian TV melaporkan bahawa mangsa merupakan saudara kepada pasangan lain yang berkahwin di dewan jamuan bersebelahan dengan tempat perkahwinan Lukun.

Difahamkan, mangsa mempunyai sejarah epilepsi tetapi tidak mengalami sawan selama lebih 10 tahun.

a5_56

Tindakan mulia Lukun itu turut tersebar luas di media sosial China, dengan ramai pengguna di media sosial meluahkan pujian terhadap sikap bertanggungjawab dan ketangkasannya menyelamatkan mangsa.— Agensi

Menurut Lukun, tindakannya menyelamatkan mangsa pada hari bahagianya itu merupakan tanggungjawab dia sebagai seorang petugas kesihatan.

"Saya harus siap siaga pada bila-bila bagi berdepan dengan situasi seperti ini," katanya ketika ditemu bual rancangan televisyen tersebut.

Kisah tindakan mulia Lukun itu turut tersebar luas di media sosial China, dengan ramai pengguna di platform seperti Weibo meluahkan pujian terhadap sikap bertanggungjawab dan ketangkasannya menyelamatkan mangsa.

Malah, ada dalam kalangan warga maya turut memuji sikap pengantin perempuan yang memahami dan menyokong tugas suaminya, meskipun pada hari perkahwinan mereka.

"Inilah semangat sebenar seorang petugas perubatan. Dia benar-benar menunjukkan nilai menyelamatkan nyawa, walau dalam apa jua keadaan," kata seorang pengguna Weibo.

Kisah pasangan ini bukan sahaja menyentuh hati ramai, tetapi turut menyorot dedikasi para petugas kesihatan yang sentiasa bersedia bertindak, walaupun di luar waktu kerja atau ketika menyambut detik peribadi penting. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram