Risau diterkam pak belang, jawapan Zoo Negara tentu mengejutkan pengunjung


  • Tular
  • Khamis, 11 Ogos 2022

Tangkap layar menujukkan seekor harimau berenang dalam kolam di Zoo Negara

SEMPENA cuti hujung minggu, sudah pastinya ramai dalam kalangan ibu bapa yang sudah bercadang untuk membawa anak-anak berjalan-jalan.

Antara tempat menarik yang sering menjadi kunjungan keluarga adalah Zoo Negara yang terletak berhampiran ibu kota, Kuala Lumpur.

Berkunjung ke Zoo Negara adalah salah satu cara ibu bapa memperkenalkan hidupan liar dan ekosistemnya melalui suasana tidak formal kepada generasi muda.

Namun begitu, seorang pengunjung meluahkan rasa risau dengan situasi seekor harimau yang dilihat berenang di kolam dalam kandang haiwan itu.

Menerusi video tular yang dimuat turun oleh pengguna TikTok nun_nin15 menyuarakan kebimbangannya jika haiwan tersebut boleh melompat keluar melepasi pagar.

"Aku pelik masa ini sebab harimau itu boleh berenang dalam air.

"Takkan dia tidak boleh lompat pagar itu?

"Harimau tu dah jinak? Macam mana ya? tulisnya dengan menunjukkan emoji ketakutan.

Video berdurasi kurang seminit itu dirakam semasa dia berkunjung ke Zoo Negara bersama keluarganya.

Dalam video tersebut menunjukkan beberapa pengunjung berdiri memerhatikan pak belang itu di sebelah pagar kandang tersebut.

Rosly

Rosly berkata secara logiknya, harimau yang ada di dalam kandang tidak boleh melompat atau menerkam orang awam. — Instagram/Rosly

Menjawab situasi tersebut, Timbalan Presiden, Zoo Negara Malaysia, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata kedudukan pagar dan jarak harimau itu tidaklah berbahaya seperti yang didakwa pengunjung.

"Secara logiknya, harimau yang ada di dalam kandang itu tidak boleh melompat atau menerkam orang awam.

"Kita dah buat kajian dan harimau kalau nak melompat memerlukan jarak.

"Yang kedua, harimau yang di dalam kandang ini tidak mempunyai tenaga yang begitu kuat untuk melompat," katanya kepada Majoriti.

Jelas Rosly lagi, pihak Zoo Negara sentiasa memastikan keadaan di seluruh kawasannya selamat untuk pengunjung.

"Harimau itu tidak mungkin akan lepas dan jarak pagar itu juga pada kedudukan yang selamat untuk pengunjung.

"Kalau bahaya untuk pengunjung kita tidak akan buat design seperti itu.

"Semua yang kita buat adalah mengikuti syarat dan kajian selama ini," tambahnya. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram