
BEKAS Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan selamat selepas terdapat percubaan kali kedua untuk membunuhnya di Florida, menurut kenyataan FBI.
Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat mengesahkan ejen mereka melepaskan tembakan terhadap seorang individu bersenjata yang berada berhampiran padang golf milik Trump.
Selain itu, sepucuk senapang yang dipercayai model AK-47 berserta skop di samping sebuah kamera video GoPro turut dirampas dalam insiden pada Isnin itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Secret Service sudah tahu ancaman 10 minit sebelum Donald Trump ditembak
BACA LAGI: Dibuli siber, Imane Khelif saman JK Rowling, Elon Musk dan Trump
Trump dilaporkan sedang bermain golf ketika insiden berlaku.
Meskipun suspek cuba melarikan diri menggunakan kereta berwarna hitam, seorang saksi membantu pihak polis untuk mengenal pasti serta menjejaki kenderaan tersebut.
"Kami mempunyai seseorang dalam tahanan yang difahamkan suspek utama," kata sheriff di Palm Beach, Ric Bradshaw dalam satu sesi sidang media beberapa jam selepas insiden.
Jelasnya, cubaan individu yang difahamkan lelaki warga Amerika Syarikat itu digagalkan selepas ejen bertugas ternampak hulu senapang di belukar.
Mereka kemudiannya mengambil keputusan mendekati suspek yang bertindak melarikan diri sebelum dapat ditahan berdasarkan perkongsian suspek berhampiran.
Trump dilaporkan sedang bermain golf di lokasi yang tidak jauh daripada salah sebuah kediamannya sebelum penembak tersebut ditemukan berhampirannya.
Beberapa barangan milik suspek yang dirampas ketika insiden.
Kejadian berkenaan merupakan kali kedua seseorang cuba untuk membunuhnya selepas pada 13 Julai lalu, dia mengalami kecederaan susulan tembakan ketika berkempen di tempat awam sekitar Butler, Pennsylvania.
Setakat ini, pihak berkuasa Amerika Syarikat masih belum mengesahkan sama ada individu ditahan ada melepaskan tembakan terhadap bekas Presiden itu, namun Perkhidmatan Rahsia melaporkan mereka sempat bertindak terhadapnya.
Bagaimanapun, berdasarkan maklumat diperolehi, FBI akan bertindak dan mengklasifikasikan kes itu sebagai cubaan membunuh Trump yang merupakan bekas presiden negara itu.
Dalam pada itu, seorang lagi pegawai polis di daerah berdekatan, William Snyderr berkata, suspek ditahan dengan emosi terkawal dan tenang tanpa sebarang provokasi dibuat.
Mereka turut menyatakan siasatan akan terus dilancarkan terhadap insiden itu dengan setakat ini, tiada motif diberikan suspek yang berada dalam tahanan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram