Pelakon suara Pokemon derita kanser payudara meninggal dunia pada usia 46 tahun


  • Hiburan
  • Selasa, 13 Ogos 2024

Rachael Lillis meninggal dunia pada Sabtu lepas setelah berjuang dengan penyakit kanser payudara sejak Mei lepas.

AKTRES Rachael Lillis yang menyumbangkan suara untuk watak Jessie dan Misty dalam siri anime Pokemon 1990-an meninggal dunia pada usia 46 tahun.

Lilis disahkan menghidapi penyakit itu pada Mei lepas sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu lepas.

Kematiannya disahkan oleh kakaknya, Laurie Orr menerusi platform pengumpulan dana sosial, GoFundMe (GFM) yang mengumpul wang bagi bil perubatan pelakon suara itu.

BACA LAGI: Penyanyi Nora Ariffin diceraikan talak satu menerusi rakaman video di Instagram

BACA LAGI: Celine Dion tak rela Trump guna 'My Heart Will Go On' dalam kempen politik

WhatsApp Image 2024-08-13 at 3.38.45 PM

Lillis menggunakan suaranya bagi menjayakan watak Misty (kiri) dan Jessie (kanan).

“Dengan berat hati, saya memaklumkan bahawa Lillis telah meninggal dunia. Dia pergi dengan tenang pada Sabtu malam," kata Orr pada Isnin.

Orr turut berkongsi yang Lillis berasa terharu dengan kutipan derma daripada peminat serta rakan-rakannya.

“Dia menyamakan sambutan baik terhadap dana tersebut dengan filem It's A Wonderful Life, iaitu sewaktu watak George terkejut mengetahui betapa dia disayangi oleh rakan-rakannya dan betapa orang lain mengambil berat tentangnya!

"Dia terharu apabila melihat laman GFM dengan komen dan pandangan baik,” katanya.

Selain itu, seorang pelakon alih suara bagi karakter Ash Ketchum dalam Pokemon, Veronica Taylor menerusi kenyataan di laman X turut memberi penghormatan kepada mendiang Lilis.

“Dengan berat hati saya berkongsi berita pemergian Lillis pada petang Sabtu pada 10 Ogos 2024.

“Tarikh pengebumian sedang dirancang,” kata Taylor.

Untuk rekod, Lillis memulakan kerjaya sebagai pelakon alih suara pada tahun 1997 bagi watak Misty dalam siri anime Pokemon versi bahasa Inggeris.

Dia juga meminjamkan suaranya bagi watak Jessie iaitu ahli Roket yang mengikuti Ash Ketchum dan rakan-rakannya mencuri Pikachu milik watak protagonis itu.

Selain Misty dan Jessie, Lillis juga menyumbang suara bagi watak Jigglypuff.

Selain Pokemon, mendiang juga meminjamkan bakatnya untuk memainkan peranan dalam filem anime Your Lie in April, siri manga Hunter x Hunter dan kartun Winx Club.Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram