
SATU kemalangan ngeri berlaku pada Selasa minggu lepas (3 September) yang mengorbankan seorang lelaki di Manaus, Brazil selepas kereta dipandunya dihempap kontena yang terbalik daripada sebuah lori treler yang sedang bergerak.
Detik-detik nahas menakutkan yang terjadi berdekatan pelabuhan bandar tersebut turut dirakam oleh kamera keselamatan litar tertutup di lokasi.
Susulan daripada kemalangan itu, pemandu treler terbabit dilaporkan melarikan diri dari tempat kejadian tanpa memberikan sebarang bantuan kepada mangsa yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Italo da Silva Prado, berusia 32 tahun.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Berdasarkan klip rakaman insiden tersebut, treler terbabit dilihat sedang memotong kenderaan di lorong kiri sebelum cuba kembali ke lorong kanan.
Bagaimanapun, tindakan tersebut menyebabkan muatan kontena berat yang dibawa terbalik dan jatuh ke arah kanan.
Pada masa sama, kenderaan dipandu mangsa turut berada di lorong kanan, iaitu betul-betul di tempat kontena terbabit terjatuh.
Insiden kemalangan itu kemudiannya dikendalikan pihak berkuasa terdiri daripada Jabatan Bomba Tentera Amazonas (CBMAM), polis tentera, ejen dari Jabatan Kepakaran Teknikal Saintifik (DPTC), Institut Mobiliti Bandar dan Perkhidmatan Kecemasan Bergerak (Samu).
Rakaman saat-saat akhir sebelum kereta dipandu Italo (bulatan merah) dihempap kontena lori treler terbalik dalam kemalangan pada 3 September lalu.
Dalam pada itu, sebuah kren diperlukan untuk mengangkat trak dan mengeluarkan kereta tersebut.
Video usaha membawa keluar kereta terbabit turut dikongsikan di media sosial.
Status mengenai pemburuan pemandu treler tersebut masih tidak dapat dipastikan dengan pihak polis belum memberikan sebarang maklumat tambahan.
Dalam pada itu, mangsa yang maut dalam kejadian itu dikenal pasti bekerja sebagai jurutera
Mangsa bekerja sebagai jurutera dalam bidang pengangkutan air untuk Kumpulan Chibatao.
Dalam satu kenyataan, syarikatnya melahirkan rasa kesal atas kejadian tragis yang berlaku berdekatan pelabuhan Porto Chibatao.
Menurut syarikat itu, Italo merupakan seorang pekerja yang berdedikasi serta tidak lokek dengan senyuman dan sentiasa ringan menghulurkan bantuan kepada rakan sekerjanya.
Kumpulan itu turut menyatakan bahawa mereka turut menyediakan kren untuk membantu operasi menyelamat, selepas mendapat permintaan dan kebenaran daripada pihak berkuasa yang berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram