SEORANG datuk bandar yang bakal dilantik diculik dalam kejadian di negeri Chiapas, selatan Mexico, hanya beberapa minggu sebelum beliau dilaporkan bertugas.
Menurut laporan media antarabangsa, individu bersenjata dipercayai menculik Anibal Roblero Castillo ketika beliau berada di luar sebuah kafe di Tuxtla Gutiérrez, Chiapas, pada Selasa.
Pihak berkuasa pada Khamis memaklumkan bahawa siasatan bagi mengesan keberadaan beliau dan motif sebenar penculikan masih giat dijalankan.
BACA LAGI: Polis buru suspek culik dan lepas 2 kanak-kanak perempuan di Sungai Buloh
Levantan a alcalde electo de Frontera Comalapa, #Chiapas, municipio que se disputan distintos cárteles
Aníbal Roblero Castillo (PVEM) fue secuestrado el martes por hombres encapuchados y armados en una cafetería de #TuxtlaGutiérrez pic.twitter.com/X8Ssv63dwE
— Manuel Lopez San Martin (@MLopezSanMartin) September 5, 2024
Insiden memaparkan detik sebelum Castillo diculik turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berdekatan, sebelum dikongsikan di media sosial.
Rakaman dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu menunjukkan sekurang-kurangnya lima lelaki bersenjata memaksa bakal datuk bandar berkenaan masuk ke dalam sebuah van dengan diiringi dua kenderaan lain.
Dalam tempoh kurang seminit, suspek bertopeng itu membawa Castillo yang memakai baju putih berlengan pendek dan berseluar panjang hitam ke lokasi yang tidak diketahui.
Berikutan laporan kehilangan Castillo, Pejabat Peguam Negara (FGE) Chiapas mengeluarkan notis carian untuk meminta bantuan rakyat agar turut sama membantu siasatan.
"Sejak menerima aduan daripada keluarga beliau, kakitangan pejabat pendakwa raya menjalankan tindakan selaras dengan protokol diluluskan untuk pencarian orang hilang dan tidak ditemui, seperti menyemak rakaman pengawasan video, temu bual dan membuat rondaan," katanya dalam satu kenyataan.
Castillo dijadual mengambil alih jawatan sebagai Datuk Bandar Frontera Comalapa pada 1 Oktober depan.
Perbandaran yang mempunyai populasi sekitar 67,000 penduduk itu terletak berhampiran sempadan Guatemala, kawasan yang menjadi perebutan antara dua kartel dadah untuk menguasai laluan penyeludupan dadah dan migran. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram