
SEORANG bekas Datuk Bandar Filipina, Alice Guo yang disyaki menjadi perisik kepada kerajaan China dan diburu selepas melarikan diri selama berminggu-minggu akhirnya ditangkap di Indonesia.
Pihak berkuasa Filipina sebelum ini dilaporkan sudah melakukan pencarian terhadap Alice di empat negara sejak dia menghilangkan diri sejak Julai berikutan siasatan terhadap dakwaan kegiatan jenayahnya.
Dia dituduh melindungi sebuah kasino dalam talian, yang menjadi pusat penipuan dan sindiket pemerdagangan manusia di bandar Bamban.
Alice sebelum itu menafikan dakwaan tersebut.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr berkata, wanita itu akan diterbangkan pulang ke Filipina seawal pada Rabu.
Alice dilaporkan berkata, dia dibesarkan di sebuah ladang milik keluarga bersama bapanya yang berbangsa Cina dan ibunya yang memiliki kerakyatan Filipina.
Bagaimanapun, seorang ahli Parlimen negara itu yang menyiasat operasi pusat penipuan terbabit berkata, cap jarinya sepadan dengan seorang warga China bernama Guo Hua Ping dan menuduhnya sebagai perisik yang menyediakan perlindungan bagi kumpulan penjenayah.
Akibat status latar belakang keluarganya yang diragui, Alice disyaki menjadi perisik kepada China. — Agensi
Kes melibatkan wanita itu menjadi bertambah tegang selepas kakaknya ditangkap dan disoal siasat oleh Senat Filipina sehingga mencetuskan kemarahan di negara itu dan menarik perhatian antarabangsa.
Tuduhan ke atas Alice itu berlaku ketika Filipina dan China terus berdepan dengan krisis perebutan terumbu karang dan hasil wilayah di Laut China Selatan.
China tidak mengulas mengenai dakwaan tersebut.
Pihak berkuasa percaya Alice keluar melepasi pemeriksaan sempadan pada Julai dan mengambil beberapa bot dan menyeberangi negara jiran seperti Malaysia dan Singapura dalam perjalanan ke Indonesia, di mana dia ditangkap pada Selasa di sempadan barat ibu kota Jakarta.
Marcos berkata, penahanan tersebut adalah amaran kepada mereka yang cuba lari daripada menerima hukuman keadilan.
"Itu adalah satu usaha yang sia-sia. Undang-undang memiliki kuasanya dan akan menerima akibatnya," tulisnya di Facebook.
Dalam pada itu, foto mengenai penangkapan tersebut turut tular menunjukkan Alice yang sedang memakai baju tidur berwarna merah jambu muda dan kot putih.
Pusat penipuan di bandar yang sepi
Alice menjadi tumpuan di Filipina selepas pihak berkuasa pada Mac mendedahkan wujudnya kegiatan pusat penipuan yang meluas di Bamban dan berselindung di sebalik sebuah kasino dalam talian, dikenali sebagai Philippine Online Gaming Operations (Pogo).
Pogo mempunyai pelanggan di China, di mana aktiviti perjudian adalah diharamkan.
Pogo berkembang pesat di bawah bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, yang tempoh jawatannya ditandai dengan hubungan rapat dengan China.
Bagaimanapun, Marcos kemudiannya mengubah hala tuju dasar luar negara tersebut dan membanteras jenayah di Pogo sejak memegang jawatan pada 2022.
Semasa serbuan di bandar tersebut, polis menyelamatkan hampir 700 pekerja pusat penipuan, termasuk 202 warga China dan 73 warga asing lain yang terpaksa menyamar sebagai penipuan percintaan di platform dalam talian.
Siasatan Senat yang dilakukan kepada Alice tertumpu kepada ketidakupayaannya untuk mengesan pusat penipuan seluas lapan hektar itu walaupun lokasinya berhampiran pejabatnya.
Senator turut mempersoalkan status keturunan wanita terbabit.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr
Sebagai seorang individu yang tidak dikenali dalam politik tempatan, Alice dipilih sebagai datuk bandar pada cubaan pertamanya untuk jawatan tersebut, sesuatu yang jarang berlaku di kawasan yang dikuasai oleh keluarga politik tertentu.
Penjelasan yang tidak begitu memuaskan oleh Alice mengenai soalan asal usulnya, menyebabkan beberapa senator menuduhnya sebagai 'aset' atau perisik China.
Dalam satu temu bual di stesen televisyen tempatan, wanita itu berkata, dia tidak terlalu menonjol kerana latar belakangnya yang merupakan anak luar nikah bapanya dengan ibunya, yang juga seorang pembantu rumah.
Menurutnya, situasi itu memaksa dia menjalani kehidupan terlindung di ladang keluarga, sehingga dia dipilih sebagai Datuk Bandar Bamban.
Kontroversi itu bagaimanapun tidak reda selepas dia enggan hadir dalam sesi perbicaraan menyebabkan senat pada Julai mengeluarkan arahan penangkapannya.
Pada masa itu, bagaimanapun, dia tidak lagi menjadi perhatian umum.
Tidak lama selepas itu, sebuah badan antirasuah mengeluarkannya daripada memegang jawatan dalam organisasi tersebut.
Pada Ogos, pihak berkuasa Filipina berkata, dia melarikan diri dari negara itu tanpa dikesan dan melalui Singapura dan Malaysia dalam perjalanan ke Indonesia.
Seorang pegawai kerajaan berkata, dia berkemungkinan menuju ke Segitiga Emas, iaitu wilayah sempadan di Semenanjung Asia Tenggara yang terkenal sebagai tempat persembunyian kumpulan jenayah terancang.
Marcos yang berang dengan perkembangan itu kemudian mengarahkan pasport Filipinanya dibatalkan dan memberi amaran bahawa dia akan dihukum. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram