PENIAGA Taman Tasik Titiwangsa menggesa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mempertimbangkan semula keputusan untuk membekukan kesemua lesen sementara penjaja dan peniaga kecil di kawasan itu.
Sebaliknya, mereka mahu DBKL meningkatkan pengkuasaan terhadap peniaga haram yang menyebabkan kesesakan jalan dan trafik yang dihadapi oleh penduduk Jalan Kuantan.
Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Taman Tasik Titiwangsa (PPPKTTT), Ahmad Zamree Fauzi berkata sedemikian dalam satu sidang media yang mewakili 15 peniaga.
BACA LAGI: [VIDEO] Ramai syak wanita cemburu rempuh pemain golf sampai cedera, polis AS tahan suspek
Beliau berkata, DBKL berlaku tidak adil dalam menghukum penjaja, terutamanya apabila pihak berkuasa gagal membendung pertambahan peniaga haram di kawasan itu.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim yang juga penaung PPPKTTT serta Pengerusi Pertubuhan Pengurusan Pasar Malam Kuala Lumpur yang mewakili lebih 14,000 peniaga di 80 lokasi pasar malam.
Sidang media tersebut berlangsung di bilik mesyuarat di flat PKNS di Jalan Kuching.
Ahmad Zamree memberi kronologi kejadian yang bermula dengan arahan DBKL pada Januari 2022 untuk memindahkan peniaga dari Zon A berdekatan dengan Stadium Titiwangsa, kemudian ke Zon B berdekatan D'Saji Restoran, diikuti dengan Zon C di penghujung Jalan Temerloh, berhampiran dengan pos keselamatan dan akhirnya ke Zon D, dekat dengan unit kuda rekreasi.
Ahmad Zamree berkata penempatan semula peniaga akan menyebabkan perniagaan mereka terjejas. — The Star
DBKL memberitahu perpindahan mereka dari Zon C ke Zon D kerana kehadiran mereka menarik peniaga haram ke kawasan itu.
"DBKL sepatutnya mengambil tindakan terhadap peniaga haram, bukan menghukum kami.
"Sekarang DBKL mengarahkan kami untuk keluar daripada Zon D dan berpindah ke tempat di Jalan Temerloh, lokasi yang kurangnya pelanggan.
"Kami tidak bersetuju dengan kawasan yang dicadangkan itu kerana peniaga di situ sudah pun memindahkan gerai mereka menghampiri jalan raya dengan harapan pelanggan akan nampak.
"Memindahkan lebih peniaga ke kawasan itu bukan hanya menyusahkan peniaga sedia ada, tetapi akan mengakibatkan kerugian terhadap peniaga," kata Ahmad Zamree.
Cadangan tempat perpindahan peniaga Taman Tasik Titiwangsa.
Beliau berkata, DBKL sepatutnya membiarkan mereka kekal di Zon D supaya ahli PPPKTTT dapat menyara hidup.
Ahmad Zamree juga mendakwa barangan yang dirampas oleh DBKL semasa operasi sebelum ini sudah 'hilang', termasuk skuter dan basikal.
"Jika dipaksa berpindah, ramai peniaga yang akan hilang sumber pendapatan," kata Ahmad Zamree yang sudah 15 tahun berniaga di Taman Tasik Titiwangsa.
"Purata, saya hanya memperoleh RM3,000 dan RM5,000 sebulan.
"Isteri saya membantu di gerai, saya tidak ada cara lain untuk mencari rezeki," katanya.
Ketika dihubungi, DBKL berkata mereka akan memberi maklum balas berhubung perkara tersebut. — The Star/GRACE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram