[VIDEO] Sudah 3 tahun berlalu, masih seriau lihat 2 wanita Rusia berpantang maut terjatuh buaian setinggi 1,920 meter


  • Benua
  • Isnin, 26 Ogos 2024

Aktiviti bermain buaian di Sulak Canyon disifatkan sebagai rekaan yang tidak memenuhi piawaian keselamatan.

DUA wanita mengalami detik mengerikan apabila terjatuh dari tebing setinggi 1,920 meter (m) sewaktu bermain di atas buaian yang tergantung betul-betul di tepi kawasan curam di Rusia.

Video kejadian yang berlaku 13 Julai 2021 itu kembali tular selepas ia dimuat naik di media sosial pada Ahad.

Berdasarkan rakaman tersebut, kedua-dua wanita itu sedang menaiki buaian di atas Sulak Canyon di Republik Dagestan, Rusia, berhampiran Laut Kaspia, apabila secara tiba-tiba, salah satu rantai buaian terputus.

BACA LAGI: [VIDEO] Rumah, bangunan tertimbus dalam lumpur, banjir kilat di Maluku ragut 13 nyawa

BACA LAGI: Alami menopaus tapi masih ada darah keluar, waspada anda mungkin ada simptom kanser rahim

Hal itu menyebabkan tempat duduk buaian terbalik sebelum kedua-dua wanita itu tercampak ke bawah tebing yang curam.

Bagaimanapun, nyawa mereka diselamatkan oleh kehadiran sebuah papan kayu kecil di tepi tebing berkenaan yang berfungsi secara tidak langsung menahan mereka daripada terus terjatuh ke bawah.

Difahamkan, kedua-dua mangsa hanya mengalami kesan lebam dan calar susulan insiden terbabit.

Polis juga menyiasat keselamatan melibatkan aktiviti buaian di ngarai yang telah dibina berhampiran kampung Zubutli iaitu di lokasi kemalangan itu berlaku.

"Mangsa ketakutan kesan daripada insiden yang menimpa, tetapi bernasib baik kerana tiada seorang pun yang mengalami kecederaan serius sebaliknya hanya luka-luka calar," kata sumber kepada akhbar Komsomolskaya Pravda.

Majlis bandaraya Kazbekovsky menuntut agar buaian di tepi tebing sebegitu dihapuskan kerana tidak mematuhi piawaian keselamatan.

Sulak Canyon digambarkan sebagai ngarai terdalam di Eropah, dengan kedalaman yang melebihi daripada Grand Canyon di Amerika Syarikat.

Kementerian Pelancongan di Dagestan turut menyifatkan buaian itu sebagai rekaan yang tidak mematuhi syarat-syarat keselamatan ditetapkan.

Agensi penguatkuasaan undang-undang dan perkhidmatan lain sudah menjalankan pemeriksaan yang berkaitan untuk memastikan tiada apa-apa yang mengancam nyawa dan keselamatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram