[VIDEO] Suami kematian isteri di Disney World gagal saman sebab langgan Disney Plus


  • Benua
  • Jumaat, 16 Ogos 2024

Disney Plus menetapkan bahawa setiap pelangganya tidak boleh menyaman syarikat tersebut dalam perjanjian langganan. — Agensi

TINDAKAN perkhidmatan penstriman popular, Disney Plus menolak tuntutan saman seorang lelaki yang kematian isterinya selepas makan di sebuah restoran di taman tema Disney Springs, Ireland pada 5 Oktober 2023 menimbulkan pelbagai soalan terutamanya kepada pelanggan.

Pihak Disney baru-baru ini mengemukakan hujahnya berkenaan tuntutan kematian wanita, Kanokporn Tangsuan yang juga merupakan doktor di New York, Amerika Syarikat (AS) berusia 42 tahun itu akibat alahan teruk pada bahan tenusu dan kacang.

Dalam kes itu, suami mangsa, Jeffrey Piccolo menuntut lebih daripada RM221,603 kepada Disney.

BACA LAGI: Profesor UPM tegur ibu bapa berkerjaya ambil tahu pemakanan anak, trend bekalkan makanan segera antara punca tumbesaran terbantut

BACA LAGI: 'Anak sampai lap pisang goreng buang minyak', pakar nutrisi UPM puas hati didik keluarga amal pemakanan sihat sejak kecil

a-statue-of-walt-disney-with-mickey-mouse-KSMZFA5JILY33CPZBRBYY5NO5Y

Taman tema Disney yang menjadi tumpuan ramai. — Agensi

Berdasarkan laporan agensi, Disney meminta mahkamah Florida, AS menolak saman yang dikemukakan Piccolo kerana mendakwa Piccolo sudah bersetuju untuk menyelesaikan sebarang tuntutan melalui proses budi bicara luar mahkamah.

Syarikat tersebut mengatakan bahawa syarat yang sudah dipersetujui itu termaktub selepas mendaftar dan melanggan Disney Plus pada 2019.

"Halaman pertama perjanjian pelanggan menyatakan, bahawa 'sebarang pertikaian antara pelanggan dan pihak Disney, kecuali untuk tuntutan kecil tertakluk kepada penafian tindakan dan mesti diselesaikan oleh budi bicara antara kedua-dua pihak.

"Piccolo bersetuju dengan peruntukan timbang tara sedemikian apabila dia mencipta akaun di laman web dan aplikasi Disney sebelum lawatan ke taman tema itu," katanya.

Peguam Piccolo, Brian Denney kemudiannya berkata, alasan tersebut seolah-olah tidak masuk akal untuk mempercayai bahawa lebih daripada 150 juta pelanggan terpaksa menepikan segala hak dan tidak boleh menyaman Disney Plus selama-lamanya.

Katanya, tindakan itu sekali gus menghalang hak pengguna dan sangat tidak adil bagi pihak anak guamnya itu.

Pada Rabu lalu, Disney menzahirkan dukacitanya terhadap kehilangan keluarga mangsa bagaimanapun menafikan bahawa premis terbabit tidak dimiliki atau dikendalikan oleh syarikat berkenaan.

"Kami hanya mempertahankan diri terhadap percubaan peguam plaintif untuk memasukkan kami dalam tuntutan mahkamah mereka terhadap restoran itu," menurut Disney Plus.

Sementara itu, Premis Raglan Road di Disney Springs itu dilaporkan masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan tidak membalas e-mel berhubung kejadian itu.

Ketika kejadian, Piccolo mendakwa, mereka berkali-kali memaklumkan kepada pemilik restoran berkenaan alahan isterinya sebelum memesan gorengan vegan seperti kerang, bawang dan pai sayur-sayuran.

Kira-kira 45 minit selepas menghabiskan makan malam mereka, Tangsuan sukar bernafas dan pengsan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital walaupun sudah menggunakan alat khas untuk mengurangkan alahan EpiPen.

Hasil siasatan juga mendapati mangsa meninggal dunia akibat alahan teruk terhadap kandungan bahan tenusu dan kacang yang tinggi dalam makanan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram