SUDAHLAH diselubungi kesedihan, ahli keluarga Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar kini terpaksa berdepan pula dengan pelbagai dakwaan berhubung status hubungan arwah dengan teman wanita.
Terbaharu, adik arwah, Aufahanie tampil mempertahankan maruah abang tersayang apabila dikatakan mempunyai masalah ketika bersama teman wanitanya yang dikenali sebagai Miera.
Aufahanie dalam pada itu juga menjelaskan bahawa Miera antara individu penting dan berjasa sepanjang operasi pencarian arwah Nidza Afham.
BACA LAGI: Jasad Nidza Afham tiada kecederaan fizikal, kematian diklasifikasi SDR
BACA LAGI: 'Hajat nak kahwin tak kesampaian', ramai sebak baca pendedahan adik Nidza Afham
Tangkap layar ciapan yang dimuat naik pemilik akaun tersebut.
Menerusi ciapan balasnya terhadap hantaran dimuat naik di akaun @os_bsn yang mendakwa Nidza Afham seolah-olah memberi petunjuk yang berkemungkinan mempunyai masalah dengan Miera.
"Berdasarkan hantaran terakhir Afham di TikTok, berkemungkinan dia ada masalah hubungan dengan teman wanitanya," tulisnya pada Khamis.
Susulan itu, Aufhanie lantas menepis dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa dia dan seluruh ahli keluarga menjadi saksi Nidza Afham dan Miera sangat bahagia sebelum kejadian berlaku.
Menurutnya, arwah Nidza Afham baru sahaja membuat persiapan untuk mencari lokasi majlis perkahwinan sehari sebelum abangnya dilaporkan hilang.
"Siapakah kamu untuk mengeluarkan kenyataan seolah-olah kamu mengenali abang saya dan teman wanitanya dengan rapat? Kami semua sangat rapat dengan arwah dan juga teman wanitanya.
"Telefon pintar arwah pada kami, di WhatsApp kami baca perancangan mereka untuk berkahwin, beberapa hari sebelum abang saya dimaklumkan hilang.
"Kami saksi bahawa mereka dalam keadaan yang baik, sedang bahagia bersama-sama," tulisnya.
Jelasnya, ahli keluarganya sangat berterima kasih kepada Miera kerana menjadi sumber penting untuk memberitahu dan melaporkan tentang berita kehilangan Nidza Afham ketika itu.
Tiada kecederaan fizikal ditemukan pada mayat Nidza Afham yang ditemukan di Jambatan Sungai Klang.
Aufahanie pada masa sama menggesa pemilik akaun tersebut untuk membuat permohonan maaf, memadam ciapan dan memberi kenyataan lanjut di balai polis berhubung dakwaan tersebut.
"Padam ciapan anda, berhenti sebarkan spekulasi dan fitnah terhadap arwah abang saya yang tercinta. Kami sekeluarga tidak reda dan tidak maafkan kenyataan yang dibuat oleh anda.
"Saya minta anda ke balai polis dan beri keterangan saksi bahawa anda melihat dengan mata anda dan anda saksi yang abang saya ambil nyawanya sendiri berserta dengan bukti. Jika tidak, sila padam ciapan berunsur fitnah anda segera," jelasnya.
Terdahulu, laporan bedah siasat ke atas mayat arwah diputuskan sebagai 'Pending Laboratory Investigation' (menunggu laporan lengkap makmal).
Polis juga memaklumkan bahawa tiada lain-lain kecederaan fizikal ditemui dan siasatan diteruskan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, jenazah arwah Nidza Afham ditemui di Sungai Klang kira-kira pukul 7 malam Rabu oleh beberapa pemancing di lokasi itu.
Allahyarham dilaporkan hilang sejak Selasa lalu selepas keluar untuk berjoging di Stadium Sultan Suleiman, Klang, Selangor.
Dompet dan telefon bimbit Nidza Afham ditemukan di Jambatan Sungai Klang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram