Polis klasifikasikan kes suri rumah dijumpai dengan kesan jerut sebagai kes bunuh


  • 112
  • Khamis, 15 Ogos 2024

Mangsa tinggal bersama suami warga China yang bekerja sebagai penyelia kilang, anak lelaki berusia tiga tahun dan adik ipar perempuan berumur lapan tahun.

SEORANG suri rumah ditemukan maut dengan kesan jerutan di leher di kediamannya di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, wanita berusia 28 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam bilik tidur rumahnya oleh suami mangsa kira-kira 7.30 malam.

BACA LAGI: Jasad Nidza Afham tiada kecederaan fizikal, kematian diklasifikasi SDR

BACA LAGI: Anda semua akan menolak Sang Kenari terbang tinggi — Daud Bakar

"Sebelum itu, bapa mangsa membuat satu laporan polis berhubung kehilangan wanita berkenaan pada 3.25 petang Rabu.

"Pengadu membuat laporan selepas mangsa gagal dihubungi dan kali terakhir berhubung melalui pesanan WhatsApp pada 8.30 pagi hari yang sama," katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa tinggal bersama suami warga China yang bekerja sebagai penyelia kilang, anak lelaki berusia tiga tahun dan adik ipar perempuan berumur lapan tahun.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat dibawa ke unit forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Mangsa dipercayai dibunuh dalam rumah oleh suspek dengan menjerut leher si mati. Susulan ini, polis menahan reman tiga lelaki dan seorang perempuan berumur 27 hingga 62 tahun yang juga ahli keluarga mangsa untuk disoal siasat. Reman bermula Khamis,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram