Pekerja valet menangis tak berlagu rempuh Lamborghini versi terakhir di dunia


  • Berita
  • Rabu, 15 Feb 2023

Pekerja berkenaan secara tidak sengaja merempuh dua Lamborghini Aventador Ultimaes antara satu sama lain milik seorang bilionair terkemuka.

SEORANG pekerja valet sebuah kasino menyebabkan dua ‘supercar’ Lamborghini milik seorang bilionair berlanggar selepas dia hilang kawalan ketika memandu salah sebuah kenderaan tersebut, lapor kelmarin.

Nilai dua buah kenderaan itu dikatakan berharga kira-kira RM5.2 juta.

Kedua-dua kereta adalah model Lamborghini Aventador Ultimae, yang merupakan versi terakhir jenama kereta sport mewah itu.

Ia dikatakan milik pengasas syarikat permainan sosial online, Virtual Gaming Worlds, Laurence Escalante.

Insiden tersebut berlaku sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan) pada 8 Februari lalu di pusat hiburan Crown Resorts, Australia.

“Kami mengesahkan bahawa dua buah kereta rosak di laluan Crown Towers Perth sejurus sebelum pukul 9 malam, Rabu lalu.

“Keselamatan kakitangan dan tetamu adalah keutamaan kami. Kami sedang menjalankan penilaian penuh bagi insiden itu bersama pihak terlibat,” kata seorang jurucakap Crown Towers Perth.

Rakaman insiden pelanggaran itu tular serta memaparkan staf valet tersebut sedang duduk di tempat duduk pemandu ketika pekerja lain dan orang ramai tiba untuk memeriksa keadaannya.

“Saya benar-benar telah merosakkannya,” kata pekerja tersebut.

Dia kemudian keluar dari kereta lalu berkata: “Lihat bagaimana kedua-dua pedal itu berada terlalu rapat? Saya menekan brek tetapi kereta terus bergerak.”

Video itu dikongsikan di laman Instagram dan menerima pelbagai komen daripada netizen.

“Dia mesti akan dipecat oleh pemilik premis itu,” kata seorang pengguna.

“Mereka mempunyai insurans, perkhidmatan valet yang bagus kebiasaannya mempunyai pemandu terbaik yang akan memandu kereta mewah,” jelas seorang pengguna lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram