SAINGAN Liga Super yang sudah berlangsung untuk tiga bulan menyaksikan kebangkitan pemain yang dahulunya tenggelam dalam bayang-bayang sendiri.
Safawi Rasid yang dipinjamkan ke Terengganu FC dari Johor Darul Ta'zim (JDT) jelas sudah kembali bangkit dengan keyakinan mula terpancar setiap kali dia beraksi.
Pemain sayap Sabah FC, Jafri Firdaus Chew juga kelihatan menunjukkan peningkatan ketara apabila dia berjaya mengisi kekosongan ditinggalkan Saddil Ramdani yang terus terpalit dengan isu kecederaan.
BACA LAGI: Keunggulan Arif Aiman 'tersebar' ke Timur Tengah, mula dikait dengan kelab Iran
BACA LAGI: Arif Aiman anggap lilitan kapten bukan beban, akui jentera serangan JDT perlu lebih tajam
Peningkatan ketara Safawi menerima respons cukup baik daripada penyokong. — Facebook/Terengganu FC
Kelainan ditunjukkan itu sudah tentu membawa nafas baharu buat penyokong yang semakin meletakkan harapan terhadap pemain-pemain tersebut bagi mengharungi musim yang masih panjang.
Namun, kisah berbeza pula dialami beberapa pemain lain yang didapati bergelut selepas menjadi watak utama buat kelab masing-masing sepanjang Liga Super 2023.
Selain terpalit dengan isu kecederaan, faktor luaran seperti perubahan barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan membuatkan sesetengah daripada mereka gagal mengulangi pencapaian tahun lalu.
Jadi, berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga pemain yang mengalami kemerosotan dari segi prestasi sehingga memberi kesan terhadap gaya permainan pasukan.
1. Arif Aiman Hanapi (JDT)
Musim lalu, Arif Aiman Hanapi berada di tahap terbaik dalam kariernya setakat ini apabila dia meraih Anugerah Penjaring Terbanyak dalam kategori pemain tempatan.
12 gol yang direkodkan dalam kempen Liga Super menyaksikannya berjaya membawa pulang anugerah tersebut selepas terikat dengan seorang lagi penyerang sayap negara, Faisal Halim.
Statistik dan sumbangan berkenaan menyaksikan pemain muda tersebut dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai buat tahun ketiga berturut-turut, sekali gus membuktikan nilainya dalam pasukan.
Arif Aiman masih belum merekodkan sebarang jaringan dalam Liga Super. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Tetapi, musim ini, Arif Aiman seakan-akan bergelut untuk mengulangi pencapaian tersebut apabila dia memulakan kempen Liga Super dengan langkah kiri akibat kecederaan dialami.
Isu tersebut menyaksikan pemain berkenaan tidak dapat diturunkan dalam dua aksi awal liga yang sedikit sebanyak merencatkan persiapan sudah dilakukan.
Bukti terbaik dapat dilihat apabila Arif masih belum menjaringkan sebarang gol dalam lima penampilan Liga Super meskipun sudah merekodkan dua bantuan jaringan.
Namun, masalah itu tidak terlalu memberi kesan terhadap JDT yang masih berada di persada liga dengan lambakan pemain berkualiti masih dimiliki.
2. Kpah Sherman (Sri Pahang)
Sentuhan berbisa Kpah Sherman musim lalu meletakkannya sebagai ayam tambatan Sri Pahang FC dengan peranan penyerang dipikulnya cukup baik sepanjang kempen.
12 gol dan tujuh bantuan jaringan yang direkodkan jelas penting buat skuad Tok Gajah untuk berada di kedudukan kelima meskipun pasukan itu tidaklah begitu sempurna.
Jadi, harapan besar diletakkan sekali lagi di bahu pemain kebangsaan Liberia itu dalam mengemudi barisan serangan pasukan dengan hanya perubahan sedikit dilakukan.
Kpah tidak beraksi dengan baik sekiranya hendak dibandingkan dengan musim lalu. — Facebook/MFL
Tetapi, perancangan itu jelas membawa kesan apabila Kpah gagal mengulangi prestasinya yang cemerlang dengan hanya dua jaringan dicatatkan dalam Liga Super musim ini.
Meskipun pulangan tersebut tidaklah begitu mengecewakan, pemain tinggi lampai itu didapati tidak begitu berminat untuk beraksi buat skuad Tok Gajah seperti mana dilihat setiap kali dia diturunkan.
Faktor kewangan dan masalah pengurusan boleh dikatakan antara punca di sebalik kemerosotan itu memandangkan pemain lain juga kelihatan begitu tidak bermaya dalam kesemua perlawanan setakat ini.
3. Darren Lok (Sabah FC)
Sejak menyertai skuad Sang Badak pada 2023, prestasi Darren Lok terus meningkat dengan sumbangannya membantu pasukan itu di pentas domestik dan antarabangsa.
Tujuh gol yang dijaringkan buat Sabah FC dengan enam daripadanya direkodkan dalam Liga Super menyaksikan mereka berada di tangga keempat Liga Super musim lalu.
Namun, kemuncak daripada prestasinya dapat disaksikan dalam Piala AFC apabila pemain kacukan negara itu merekodkan enam gol dan dua bantuan jaringan.
Darren Lok (kanan) tenggelam selepas mengalami kecederaan pada awal musim. — Facebook/Sabah FC
Gandingannya bersama penyerang kelahiran Brazil, Ramon Machado juga cukup digeruni dengan masing-masing mencipta gerakan amat dihormati dalam negara.
Prestasi itu bagaimanapun gagal untuk diulangi Darren Lok musim ini selepas dia bergelut dengan masalah kecederaan dengan hanya empat penampilan Liga Super direkodkan setakat ini.
Gol tunggal dalam aksi Derby Borneo berdepan Kuching City FC merupakan satu-satunya jaringan dapat direkodkan penyerang negara itu dengan harapan besar penyokong Sabah FC diletakkan untuk menyaksikannya kembali ke tahap terbaik selepas ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram