DARI Puchong ke Worlfburg, impian Qaseh Rania Khairul Najib untuk beraksi di luar negara akhirnya berjaya dikecapi selepas kini dia sedang gigih menjalani latihan bersama kelab gergasi Eropah, VfL Wolfsburg.
Selasa lalu menyaksikan Qaseh Rania menambah pengalaman baharu dengan menyertai sesi percubaan bersama VfL Wolfsburg selama enam minggu terlebih dahulu sebelum mengetahui sama ada bakal diserap ke dalam pasukan atau tidak.
Selepas hampir seminggu berada di bumi Wolrfburg, Jerman, pemain berusia 14 tahun itu nyata tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu sehingga turut menerima banyak pujian daripada jurulatih.
BACA LAGI: Bakal sertai kelab Jerman tak lama lagi, Qaseh Rania angkat Arif Aiman sebagai idola
BACA LAGI: [VIDEO] Sebelah kaki ke Jerman, anak muda Puchong membara sarung jersi Harimau Malaya
Bahkan, 'ubi muda' terbaik dalam Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkenaan juga dipuji kerana menepati kriteria pemain yang baik seperti cemerlang dalam membuat keputusan.
"Dia seorang pemain yang sangat bagus, pandai membuat keputusan yang baik, jenis cepat belajar dan sangat cepat bergaul dengan rakan sepasukan," puji jurulatih Bawah 17 tahun wanita Wolfburg.
Jurulatih berkenaan juga melihat Qaseh Rania sebagai seorang pemain yang boleh beraksi di posisi tengah meskipun posisi kegemarannya adalah sebagai penyerang tengah dan tonggak sayap.
Walaupun sebagai pemain yang paling muda di atas padang, kehadiran Qaseh Rania sememangnya sangat dinantikan dan penampilan pertamanya ini sudah memberikan impresi yang baik kepada para jurulatih.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa Qaseh Rania berkongsi bahawa sudah sedia dengan cuaca, makanan, persekitaran dan termasuklah dengan latihan yang jauh lebih sukar jika dibandingkan dengan suasana liga domestik.
"Memang tak sabar nak buat semua benda sebab dah lama Rania bersedia untuk perkara ini. Saya nak buktikan bakat yang Rania ada di sana. Rania paling teruja nak tahu persekitaran di Wolfsburg dan cara latihan yang diterapkan di kelab itu.
"Setakat ini dah pandai cakap sikit-sikit seperti perkenalkan diri. Dari segi makanan pula, buat masa sekarang Rania dan Papa ada bawa bekalan makanan macam sambal. Tapi Rania kena cepat belajar makanan baharu.
"Dari segi cuaca pula agak sejuk tapi Insya-ALLAH Rania akan cepat menyesuaikan diri," katanya yang akan ditemani ayahnya, Khairul Najib selama enam minggu di sana. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram