PENANG FC meraih keputusan seri keempat mereka selepas melakar keputusan 2-2 menentang Kuching City FC bagi saingan Liga Super di Stadium Negeri dekat Kuching, Sarawak pada Ahad.
Harimau Kumbang yang pada awalnya meraih dua gol pendahuluan dikecewakan selepas anak-anak buah Aidil Sharin Sahak bangkit untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima aksi terakhir liga setakat ini.
Dua pemain import Brazil Harimau Kumbang iaitu Joao Neto meletakkan pelawat di hadapan pada minit ke-38 dan Rodrigo Dias melebarkan jurang dengan gol kedua empat minit berselang.
BACA LAGI: Gol Neto-Rodrigo tidak cukup kuat buat Penang, gagal bawa pulang 3 mata dari bumi Kuching
BACA LAGI: Pernah luah hasrat jadi 'head coach', Ramon Marcote mula cari kerja di LinkedIn
Manakala, pada babak kedua pula menyaksikan pemain gantian The Cats, Zahrul Nizwan bangkit meledak gol pertama dan Tchetche Kipre mencetak gol penyamaan bagi memastikan pasukan Borneo tanah air itu membawa pulang satu mata di halaman sendiri.
Keputusan seri yang diraih oleh Penang FC itu meletakkan Harimau Kumbang pada tangga ketujuh membuatkan pengendalinya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyedari bahawa perjalanan pasukannya masih jauh dan perlu bekerja lebih kuat.
Menerusi dua ciapan di laman Twitter (X), Akmal Rizal mengakui bahawa bahawa prestasi Harimau Kumbang berada dalam keadaan baik namun beliau tidak mahu terlalu selesa dengan kedudukan sekarang.
Perjalanan masih jauh.. pic.twitter.com/AFR2jXRxFt
— Akmal Rizal @ AR14 (@dekman14) August 12, 2024
“Sikit sahaja lagi, kena kerja lagi kuat. Perjalanan masih jauh,” jelas Akmal Rizal memetik ciapan di laman X.
Sejak diberi kepercayaan untuk mengemudi Harimau Kumbang pada musim ini, bekas penyerang kebangsaan itu membantu skuad The Phanters merekodkan dua kemenangan, empat seri dan dua kekalahan selepas lapan perlawanan setakat ini.
Walaupun banyak merekodkan satu mata sahaja hasil keputusan seri, Penang menjadi pasukan ketiga dengan jumlah bolos terendah dalam saingan liga iaitu lapan kali dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi pasukan paling kebal dengan hanya empat kali bolos.
Selepas ini, pasukan Utara tanah air berkenaan akan mengisi masa dengan latihan yang banyak sebelum melayan kunjungan Harimau Selatan pada 13 September 2024 bagi saingan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram