[VIDEO] Pesawat terhempas di Sao Paulo, kesemua 61 penumpang maut


  • Benua
  • Sabtu, 10 Ogos 2024

Sebuah pesawat dilaporkan terhempas mengorbankan kesemua 61 penumpang di Sao Paulo, Brazil pada Jumaat. — Agensi

SEBUAH pesawat dilaporkan terhempas ke dalam komuniti kediaman berpagar di Sao Paulo, Brazil pada Jumaat, mengorbankan kesemua 61 penumpang di dalamnya.

Bangkai pesawat berkenaan ditemui rentung dan beberapa mayat juga dikatakan bergelimpangan di lokasi kejadian.

Walau bagaimanapun, pegawai syarikat penerbangan berkenaan mengesahkan insiden itu tidak mengakibatkan kematian penduduk di kawasan terbabit yang dilapor terhempas di bandar Vinhedo, kira-kira 80 kilometer dari bandar Sao Paulo.

BACA LAGI: Penduduk Kapar cemas, pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda

BACA LAGI: CAAM sahkan 2 mangsa terlibat nahas pesawat ringan terhempas, tak terima panggilan kecemasan

Saksi di tempat kejadian juga berkata, tiada mangsa dalam kalangan penduduk tempatan.

Syarikat penerbangan Voepass menjelaskan bahawa pesawatnya, ATR 72 sedang menuju ke lapangan terbang antarabangsa Guarulhos di Sao Paulo dengan 57 penumpang dan 4 anak kapal ketika kejadian.

“Kami dengan kesal memaklumkan bahawa kesemua 61 orang penumpang dalam penerbangan 2283 meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pada masa ini, Voepass mengutamakan pemberian bantuan tanpa had kepada keluarga mangsa dan bekerjasama secara berkesan dengan pihak berkuasa untuk menentukan punca kemalangan," kata Voepass dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, ia merupakan insiden kematian kedua membabitkan syarikat pesawat berkenaan selepas 72 penumpang dilaporkan maut pada Januari 2023 apabila pesawat Yeti Airlines di Nepal terhenti dan terhempas ketika melakukan pendaratan.

Pesawat itu juga merupakan ATR 72 dan laporan akhir kejadian dikatakan berpunca akibat kecuaian juruterbang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram