CAAM sahkan 2 mangsa terlibat nahas pesawat ringan terhempas, tak terima panggilan kecemasan


  • 112
  • Selasa, 13 Feb 2024

Sebuah pesawat ringan yang terhempas di Kapar, Selangor, pada Selasa.

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC telah terhempas dekat Kapar, Selangor pada Selasa.

Pesawat berkenaan yang dikendalikan oleh Air Adventure Flying Club telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.

BACA LAGI: Penduduk Kapar cemas, pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda

Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 1:35 petang, namun tiada panggilan kecemasan diterima.

"Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi pesawat.

"Terdapat dua penumpang termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat tersebut namun keadaan kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan setakat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, CAAM menjelaskan, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram