PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf yang dibuat oleh Meta Platforms Inc (Meta) berikutan tindakan mereka yang menurunkan hantaran beliau berkaitan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, yang dimuat naik menerusi akaun Facebook dan Instagram miliknya.
Permohonan maaf itu dibuat selepas Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengadakan pertemuan bersama wakil syarikat berkenaan di Putrajaya pada Isnin bagi menuntut permohonan maaf dan penjelasan berhubung tindakan mereka.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, selepas menghubungi Perdana Menteri mengenai isu tersebut.
BACA LAGI: Dewan Rakyat kutuk pembunuhan pemimpin Hamas
BACA LAGI: Unit Media PM kutuk Meta padam gambar pertemuan Anwar-Ismail di Doha
Pertemuan yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada petang Isnin itu adalah untuk menuntut penjelasan dan permohonan maaf daripada wakil Meta.
"Saya ada berhubung dengan Perdana Menteri dan beliau sendiri mengambil maklum akan permintaan maaf daripada Meta. Perdana Menteri memaklumkan bahawa sahabat-sahabat beliau, termasuk di Timur Tengah (Asia Barat), sudah membaca berita terbabit...bermaksud ia sudah sampai ke seantero dunia.
"Perdana Menteri menerima permohonan maaf itu dan pada masa sama, kita berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi.
Terdahulu, Majoriti melaporkan syarikat terbabit memohon maaf kerana tersilap menurunkan hantaran yang dimuat naik menerusi media sosial Anwar.
Hantaran yang dimuat naik itu menyatakan ucapan takziah kepada Ismail yang mati terbunuh di ibu negara Iran, Tehran.
Meta pada Selasa memohon maaf atas kesilapan operasi dengan memberikan alasan ia adalah 'operational error'. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram