Meta minta maaf, perjelas hantaran PM Anwar berkaitan Haniyeh diturunkan kerana masalah 'error'


  • Massa
  • Selasa, 06 Ogos 2024

Meta memohon maaf atas kesilapan operasi dan menjelaskan bahawa kandungan itu telah dipulihkan dengan label yang sesuai dengan berita. — Gambar/Reuters

META Platforms Inc (Meta) memohon maaf kerana tersilap menurunkan hantaran yang dimuat naik menerusi media sosial Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hantaran yang dimuat naik itu menyatakan ucapan takziah kepada ketua politik pasukan pejuang Palestin Hamas, Ismail Haniyeh yang mati terbunuh di ibu negara Iran, Tehran.

Meta pada Selasa memohon maaf atas kesilapan operasi dengan memberikan alasan ia adalah 'operational error'.

BACA LAGI: Dewan Rakyat kutuk pembunuhan pemimpin Hamas

BACA LAGI: Unit Media PM kutuk Meta padam gambar pertemuan Anwar-Ismail di Doha

2842117

Pertemuan anggota Kabinet dengan Meta antara lain bagi menuntut penjelasan terhadap tindakan mereka menurunkan hantaran berkaitan Haniyeh. — Gambar/Agensi

Meta menjelaskan bahawa kandungan itu telah dipulihkan dengan label yang sesuai dengan berita, menurut jurucakapnya.

Anwar sebelum itu menyiarkan di Facebook dan Instagram pada 31 Julai rakaman video panggilan telefon dengan seorang pegawai Hamas bagi mengucapkan takziah atas kematian Haniyeh.

Beliau juga menyiarkan gambar daripada pertemuan terakhirnya dengan Haniyeh di Qatar pada Mei, bersama-sama dengan ucapan takziah.

Rentetan itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan anggota Pejabat Perdana Menteri bertemu wakil Meta pada Isnin untuk mendapatkan penjelasan daripada Meta.

Terdahulu, dalam kejadian sama pada Mei, Meta memulihkan catatan Facebook oleh Anwar berhubung pertemuannya dengan Haniyeh, mengatakan ia telah diturunkan secara tidak sengaja.

Malaysia yang majoritinya beragama Islam serta menyokong perjuangan Palestin, memberi amaran bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap Meta dan syarikat media sosial lain jika mereka menyekat kandungan pro-Palestin di platform mereka. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram