Joe Biden tarik diri pertahan jawatan Presiden AS, beri sokongan kepada Kamala Harris


  • Benua
  • Isnin, 22 Jul 2024

Joe Biden tarik diri daripada pencalonan Presiden Amerika Syarikat dan memberi sokongan kepada Kamala Harris sebagai calon. — Agensi

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan pengundurannya daripada pemilihan Presiden AS 2024 yang bakal berlangsung pada awal November depan.

Pemimpin berusia 81 tahun itu berkata, keputusan tersebut merupakan langkah terbaik bagi parti Demokrat dan juga rakyat negara Uncle Sam itu.

Biden berkata, menggalas tanggungjawab sebagai Presiden AS merupakan penghormatan terbesar dalam hidupnya.

BACA LAGI: Tak mampu tanggung kos sendiri, kakak rayu kerajaan bawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh

BACA LAGI: Kerajaan boleh bawa Singapura ke mahkamah timbang tara selesai perjanjian isu air

WhatsApp Image 2024-07-22 at 08.10.18

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden (kanan). Agensi

"Walaupun saya berhasrat untuk bertanding semula, namun demi kepentingan terbaik parti dan negara, saya percaya adalah lebih baik untuk berundur dan menumpukan perhatian kepada tugas sebagai Presiden untuk baki penggal saya," katanya dalam satu kenyataan di laman X.

Biden turut memberi sokongan penuh kepada naib presiden, Kamala Harris yang mewakili Parti Demokrat untuk melawan calon Republikan, Donald Trump dalam pemilihan Presiden AS 2024.

"Demokrat sudah tiba masanya untuk bersatu dan menewaskan Trump. Mari lakukan ini," katanya.

Pencalonannya menjadi tumpuan berikutan prestasi hambarnya ketika menentang bekas Presiden Trump dalam debat presiden akhir bulan lalu.

Pada Khamis lalu, Trump menerima pencalonan presiden Republikan pada Konvensyen Nasional Republikan (RNC) di Milwaukee, Wisconsin, ketika desakan supaya Biden menarik diri daripada perlumbaan itu semakin meningkat.

Sebelum ini media melaporkan, pelbagai pihak termasuk lebih 30 ahli Demokrat di Dewan Perwakilan dan empat senator meminta Biden untuk menarik diri dari pemilihan Presiden AS susulan faktor umur dan kondisi kesihatan yang meragukan.

Sementara itu, Harris dalam satu kenyataan berkata, dia berbesar hati menerima sokongan Biden dan berhasrat untuk memenangi pencalonan tersebut.

"Saya akan melakukan segala yang saya mampu untuk menyatukan Parti Demokrat dan menyatukan negara kita bagi mengalahkan Donald Trump dan agenda ekstremnya iaitu Projek 2025.

"Kita mempunyai 107 hari sebelum menjelang Hari Pilihan Raya. Bersama-sama, kita akan berjuang. Dan bersama-sama, kita akan menang," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram