Bekas pensyarah, kontraktor miliki bahan berkaitan ideologi keganasan IS didakwa di Johor


Abdullah (kiri) dan Mohamad hanya mengangguk ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

SEORANG bekas pensyarah berusia 70 tahun dan kontraktor berusia 48 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor selepas didapati memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Abdullah Daud dan Mohamad Awang hanya mengangguk ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Fatimah Zahari pada Ahad.

Abdullah berdepan empat pertuduhan sementara Mohamad hanya berdepan satu pertuduhan dengan tiada pengakuan direkodkan mana-mana tertuduh dan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

BACA LAGI: Prosiding saman fitnah Ahmad Zahid ditangguh, Tun M dinasihat tidak ke luar negara

BACA LAGI: Bekas MB Perlis terima cek lebih RM600,000 daripada agensi pelancongan — Saksi

41218106_JcfYAhZ_6EGGuYXQriuxo4syqCoKKNE9IDBpT-QoRTc

Kedua-dua mereka berdepan tuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Abdullah didapati memiliki dua naskah buku dalam format PDF dan dua video dalam telefon bimbitnya melibatkan gerakan IS dan aktiviti berhubung keganasan.

Dia juga didapati mempunyai dua buku yang menggalakkan keganasan dengan menyebarkan ideologi berkaitan kumpulan IS selain membenarkan kediamannya dijadikan pusat gerakan kumpulan keganasan.

Abdullah didapati melakukan kesalahan itu antara 3 September 2023 dan 14 April tahun ini, dan antara 23 Jun dan 28 Jun di sebuah rumah sekitar Kampung Melayu Kangkar Pulai, Johor Bahru.

Sementara itu, Mohamad didapati memiliki barangan berkaitan IS di telefon bimbit dan komputer riba peribadinya dengan kesalahan dilakukan pada 23 Jun 2024 di Taman Daya, Johor Bahru.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki barangan yang menyokong gerakan pengganas yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam kesalahan itu.

Pertuduhan juga dibuat di bawah Seksyen 130G(a) dan Seksyen 130H(a) Kanun Keseksaan kerana menghasut untuk melakukan keganasan dengan menyebarkan ideologi IS dan menyediakan kemudahan dalam melakukan keganasan itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rullizah Abdul Majid dan Lina Hanani Ismail sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 18 September akan datang bagi pengurusan kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram