KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengucapkan terima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas sumbangan peribadi baginda kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Dalam majlis penyerahan cek daripada Tunku Ismail yang juga dikenali sebagai TMJ kepada Presiden SAFA, Datuk Ir Shahelmey Yahya pada Rabu di ibu negara, Hajiji berkata, sumbangan tersebut akan membantu dalam pembangunan bola sepak di Sabah.
Menerusi perkongsian di Facebook peribadinya, Hajiji turut menghargai komitmen TMJ untuk bekerjasama antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan SAFA dalam mempromosikan pembangunan bola sepak, terutamanya dalam mencari bakat-bakat muda.
BACA LAGI: Tiada Syafiq tidak apa, Kedah masih letak sasaran tinggi dalam Piala FA
BACA LAGI: KL bebas pemotongan mata bikin fans Hijau Kuning berang, tuntut layanan adil MFL
Hajiji (dua kiri) sedang berbincang dengan TMJ sambil diperhatikan oleh Shahelmey (kiri). — Facebook
Tambahnya lagi, agenda pembangunan bola sepak Sabah melalui kolaborasi bersama Kelab Bola Sepak JDT turut dibincangkan.
"Jutaan terima kasih juga diucapkan kerana memberi sumbangan peribadi kepada Persatuan Bola Sepak Sabah.
“Kerjasama erat SAFA dengan JDT juga akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pembangunan bola sepak di peringkat belia dan mencungkil bakat di kawasan-kawasan terpencil.
"Beberapa perkara penting turut dibincangkan termasuk potensi peluang ekonomi antara Sabah dan Johor," katanya.
Bagaimanapun, niat murni tersebut mengundang kecaman dalam kalangan penyokong Sang Badak dengan ramai yang beranggapan bahawa Sabah hanya meraih simpati.
"Malunya kena bagi sumbangan, apa mahu jadi dengan bola sepak Sabah sekarang," kata Mission Impossible.
Begitupun, terdapat juga peminat The Rhinos yang membidas kritikan tersebut dan menghargai sumbangan peribadi TMJ itu.
"Buat apa mahu malu bukan mencuri, TMJ yang bagi ikhlas, kite terima saja lah," kata Azroy Man Roy Azroy.
"Kenapa harus malu, TMJ sendiri yang bagi sumbangan bukannya memintakan," kata Modiun Bin Garakan.
"Sumbangan dengan meminta adalah dua perkara berbeza, apa yang mahu dimalukan, Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur pun TMJ tolong beri sumbangan," kata Asrof Lie. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram