Rangkaian internet lumpuh di seluruh Bangladesh, korban protes pelajar cecah 25 individu


  • Benua
  • Jumaat, 19 Jul 2024

The Associated Press melaporkan, seramai 25 orang telah terbunuh setakat ini. — Agensi

RANGKAIAN internet di seluruh Bangladesh dilaporkan lumpuh sepenuhnya susulan tindakan protes pelajar di negara tersebut terhadap kerajaan yang setakat ini menyebabkan sekurang-kurangnya 25 individu terkorban.

Menurut pemantau perkhidmatan internet, Netblock, data rangkaian di negara terbabit mula ditutup pada Khamis.

Penunjuk perasaan pelajar yang marah dengan dasar kuota kerja kerajaan cuba menutup rangkaian pengangkutan dan perniagaan ekoran daripada tindakan pihak berkuasa menutup semua universiti.

BACA LAGI: Ketua Menteri Melaka tak perlu layan provokasi bubar DUN

BACA LAGI: Kos ganti paip air lama dianggar cecah RM10 bilion — Menteri

Menerusi laporan media tempatan, sebuah penyiar televisyen di negara itu juga telah dibakar.

The Associated Press melaporkan, seramai 25 orang telah terbunuh setakat ini.

Pihak kerajaan bagaimanapun tidak mengulas mengenai penutupan rangkaian internet berkenaan.

Kekecewaan pelajar tertumpu pada dasar kerajaan yang merangkumi peruntukan 30 peratus pekerjaan untuk ahli keluarga veteran dari perang kemerdekaan 1971 dari Pakistan, yang menurut pengkritik telah disalahgunakan.

Perdana Menteri, Sheikh Hasina berusaha meyakinkan pelajar dan memberitahu mereka untuk mempercayai mahkamah kerana kes terhadap sistem kuota sedang dibicarakan.

6111902491760245974

Kekecewaan pelajar tertumpu pada dasar kerajaan yang merangkumi peruntukan 30 peratus pekerjaan untuk ahli keluarga veteran dari perang kemerdekaan 1971 dari Pakistan.

Namun, beliau juga berikrar untuk mengkritik mereka yang bertanggungjawab atas keganasan dengan berkata dalam ucapan di televisyen pada Rabu bahawa jawatankuasa kehakiman akan menyiasat kekacauan yang tercetus itu.

Penunjuk perasaan berkata, sistem kuota telah mengecualikan pencari kerja baharu dan memihak kepada penyokong Hasina, yang juga merupakan anggota parti mengetuai pergerakan berpisah dari Pakistan.

Kumpulan pelajar mahu sistem itu digantikan dengan kaedah berasaskan merit.

Pekerjaan di sektor kerajaan mendapat permintaan yang tinggi di Bangladesh lebih-lebih lagi ketika negara terbabit bergelut dengan pemulihan ekonomi selepas pandemik dan prestasi pertumbuhan kukuh selama bertahun-tahun direkodkan sebelumnya.

Protes terbabit kebanyakannya didorong oleh pelajar bermula bulan lalu tetapi bertukar menjadi ganas awal minggu ini dan kini parti pembangkang utama Bangladesh turut menyertai tunjuk perasaan itu.

Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka pada Khamis memaklumkan pihaknya sedang giat memantau situasi berikutan protes pelajar yang terjadi di Bangladesh.

Walaupun menghadapi cabaran termasuk gangguan perkhidmatan telekomunikasi yang meluas, Suruhanjaya Tinggi secara aktif berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia di negara tersebut.

Selepas permulaan protes, pelajar Malaysia di Dhaka telah diarahkan untuk berkumpul di Suruhanjaya Tinggi bagi keselamatan mereka dan untuk menerima arahan lanjut.

Kumpulan pelajar terbabit adalah dari institusi pendidikan tempatan di Dhaka yang terjejas oleh protes tersebut.

Buat masa ini, Suruhanjaya Tinggi sedang mengkaji penyelesaian termasuk membantu mengaturkan perjalanan pulang pelajar-pelajar yang ingin kembali ke Malaysia dan tempat perlindungan sementara. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram