MEMANDANGKAN hari raya Aidiladha hanya sekali setahun, ramai yang tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan agihan daging haiwan korban mengikut hak masing-masing.
Tidak ketinggalan warga asing yang menyerbu lokasi pengagihan daging korban di masjid-masjid hingga menyebabkan umat Islam tempatan yang layak dikatakan gagal mendapatkan bahagian mereka.
Malah, baru-baru ini tular rakaman video yang memaparkan ramai warga Bangladesh beratur panjang untuk mengambil agihan daging dipercayai di Johor.
BACA LAGI: 'Tuhan tak ampun dosa', mufti harap umat Islam tak buat jenaka buhul sihir, amalan khurafat
Setiap individu fakir miskin Muslim layak menerima agihan daging korban tanpa mengira kaum.
Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia (Perimau), Mohd Ridhwan berkata, mereka datang secara berkumpulan dan membawa pulang sehingga 10 kilogram daging walaupun tinggal serumah.
Lantas perkara itu menjadi pertikaian ramai kerana musykil mengenai hukum seseorang mengambil daging agihan secara beramai-ramai meskipun tinggal serumah.
Bercakap soal itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad tampil menjelaskan bahawa tidak salah jika warga asing tersebut yang tinggal serumah mendapat agihan daging bagi setiap orang.
"Kita tengok kepada individu. Kalau duduk serumah pun dapatlah sedikit seorang.
"Setiap individu fakir miskin Muslim layak menerima agihan daging korban tanpa mengira bangsa asalkan dia beragama Islam," katanya kepada Majoriti.
Ini kerana, Mohamad Shukri berkata, yang terpenting dalam melakukan ibadah korban adalah memastikan daging itu diperoleh fakir miskin.
"Kaedah daging korban ini, satu pertiga (1/3) fakir miskin, 1/3 umum dan 1/3 diri sendiri.
"Tetapi kalau 100 peratus mahu beri kepada orang dan diri sendiri tak mahu terima tak ada masalah.
"Ataupun jika kita putuskan 100 peratus mahu beri kepada fakir miskin pun tiada masalah.
"Ini kerana, yang wajibnya adalah orang miskin. Kalau tak bagi langsung kepada orang miskin korban kita tidak dapat apa-apa (gagal korban itu)," katanya.
Tambahnya, melakukan ibadah korban juga bermaksud kita sudah melawan kejahatan dalam diri.
"Contohnya seekor lembu ada tujuh bahagian, kita ambil satu bahagian yang memerlukan keluarkan duit dalam RM800.
"Agihkan pula kepada orang miskin. Kita membunuh rasa kedekut dalam diri dengan cara membelanjakan duit kita untuk membuat ibadah korban," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram