Tapak nuklear Zionis jadi sasaran Iran jika diserang balas


  • Benua
  • Jumaat, 19 Apr 2024

Iran dilaporkan mempunyai bahan fisil yang mencukupi untuk penghasilan beberapa bom, menjadikannya di ambang untuk menjadi negara bersenjata nuklear. — Gambar hiasan/Agensi

KOR Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memberi amaran bahawa ia akan menyerang tapak nuklear Israel dan menggunakan senjata nuklear jika rejim Zionis meneruskan rancangannnya untuk membuat serangan balas.

Perkembangan pada Khamis itu berlaku selepas pegawai tentera Israel berjanji untuk membuat serangan balas susulan serangan Iran pada Sabtu lalu.

Tehran sebelum itu melakukan serangan dron dan peluru berpandu pada Sabtu lalu sebagai tindak balas daripada serangan udara yang dibuat tentera Israel terhadap konsulat Iran di Syria pada awal April lalu.

“Kemudahan nuklear musuh Zionis telah dikenal pasti dan semua maklumat yang diperlukan dari semua sasaran ada dalam tangan kami,” ujar Brigadier Jeneral IRGC, Ahmad Haghtalab yang dipetik menerusi laporan berita media separuh rasmi Iran, Tasnim.

“Jari kami berada di butang yang akan mencetus tembakan peluru berpandu yang kuat untuk memusnahkan sasaran ditetapkan sebagai tindak balas kepada kemungkinan serangan oleh mereka,” kata komander bahagian IRGC itu yang ditugaskan untuk melindungi kemudahan nuklear Iran.

BACA LAGI: Langkah potong subsidi bahan api kekal dilaksana tahun ini — Rafizi

WhatsApp Image 2024-04-18 at 11.55.18 PM

Lokasi kemudahan pengayaan uranium Iran di Natanz yang terletak di selatan Tehran. — Reuters

BACA LAGI: Akaun 3 KWSP tambah alternatif simpanan pencarum, sedia dana kecemasan ketika terdesak

Haghtalab juga memberikan amaran peringkat tertinggi dan secara langsung bahawa Iran ia mungkin meninggalkan dasar yang dilaksanakannya untuk mengekang republik itu daripada membina bom nuklear.

"Jika rejim Zionis mahu menggunakan ancaman menyerang pusat nuklear negara kami sebagai alat, kami akan mempertimbangkan semula doktrin dan dasar Republik Islam Iran, dan beralih daripada pertimbangan yang dinyatakan sebelum ini," katanya.

Kemudahan nuklear utama Iran, terutamanya pemasangan kemudahan itu di Natanz yang terletak di tengah-tengah Isfahan, terdedah kepada pelbagai serangan sabotaj daripada Israel sejak tercetusnya konflik antara kedua-dua negara itu dalam tempoh sedekad lalu.

Dalam waktu tersebut, beberapa saintis nuklear Iran juga terbunuh.

Pada Mac 2022, selepas beberapa serangan sabotaj berprofil tinggi termasuk yang berjaya digagallan IRGC, satu pasukan elit baharu pasukan tersebut yang menjaga fasiliti sensitif itu mula didedahkan kepada umum.

Iran kini memperkayakan uranium sehingga 60 peratus, iaitu proses yang hanya kurang sedikit daripada 90 proses pengayaan bahan tersebut yang diperlukan dalam upayanya membina bom atom.

Republik itu juga mempunyai bahan fisil yang mencukupi untuk penghasilan beberapa bom, menjadikannya di ambang untuk menjadi negara nuklear.

Bagaimanapun, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan penilaian perisikan AS memaklumkan Iran masih belum memulakan beberapa langkah susulan yang diperlukan untuk benar-benar membina bom atom.

Walaupun perjanjian nuklear Iran 2015 dengan kuasa dunia beransur-ansur goyah berikutan pengunduran unilateral Amerika Syarikat pada 2018, Tehran setakat ini berkata, ia tidak mempunyai rancangan untuk meneruskan pembinaan senjata nuklear.

Amaran pada Khamis itu hadir ketika pemimpin tertinggi politik dan tentera Iran berjanji untuk bertindak jika Israel memutuskan untuk membuat serangan.

Hassan Abedini, seorang eksekutif dan penasihat media negara Iran, pada hari Khamis dalam siaran di X menerbitkan foto mesyuarat melibatkan ketua aeroangkasa IRGC, Amir Ali Hajizadeh.

Hajizadeh berkata, pasukan itu mengelak daripada menggunakan peluru berpandu balistik utamanya semasa serangan minggu lalu, termasuk Khorramshahr, Sajil, Haj Qassem, Kheibar Shekan-2, peluru berpandu hipersonik yang dikenali sebagai Fattah.

Beliau berkata, IRGC hanya menggunakan "keupayaan minimum" dalam serangan sebelum ini dan bersedia bagi satu lagi serangan penting.

Kenyatan itu diperacayai bagi menjawab dakwaan pegawai tentera AS bahawa Iran telah kehabisan bekalang peluru berpandu balistik jarak jauhnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram