[VIDEO] Bertempiaran lari ketika main bola, kanak-kanak antara penduduk Palestin maut kena bom di sekolah Al-Awda


  • Benua
  • Rabu, 10 Jul 2024

Lebih 500 penduduk Palestin yang berlindung di kawasan sekolah sudah meninggal dunia sejak serangan Zionis dilancarkan pada 7 Oktober 2023. — Agensi

SERANGAN rejim Zionis terhadap golongan tidak bersalah di Palestin berterusan apabila Sekolah Al-Awda di Abasan, Palestin menjadi sasaran dalam satu siri letupan pada Rabu.

Dalam sebuah klip yang dikongsikan Al Jazeera, serangan itu dilakukan ketika sekumpulan kanak-kanak sedang bermain bola sepak di pekarangan sekolah tersebut.

Video berdurasi lebih dua minit itu memaparkan orang ramai bertempiaran selepas terdengar letupan berkenaan yang difahamkan menyasarkan pintu masuk bangunan berkenaan.

BACA LAGI: Tapak nuklear Zionis jadi sasaran Iran jika diserang balas

BACA LAGI: Henti label Ahli Parlimen guna perkataan kafir, zionis, Yahudi — Speaker

Rakaman itu kemudiannya menunjukkan beberapa rakyat Palestin maut, termasuk daripada golongan kanak-kanak akibat terkena bahan letupan daripada tentera Israel.

Sejak dimuat naik, klip itu menerima ratusan ribu tontonan dengan orang ramai mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis itu.

Berdasarkan laporan terkini, sekolah tersebut dijadikan pusat perlindungan buat kira-kira 2,000 rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan bertali-arus daripada tentera Israel.

Pengeboman itu menyaksikan 29 rakyat Palestin meninggal dunia sementara beberapa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke kem pelarian lain untuk menerima rawatan.

Serangan tersebut merupakan kali keempat rejim Zionis menjadikan sekolah sebagai sasaran dalam tempoh empat hari dengan alasan bangunan itu digunakan kumpulan Hamas sebagai pusat risikan.

Menurut statistik dikeluarkan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 500 rakyat Palestin sudah meninggal dunia ketika mendapatkan perlindungan di kawasan sekolah sejak 7 Oktober tahun lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram