MENJELANG setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha, Gunung Bawakaraeng di Sulawesi Selatan, Indonesia lazimnya dikunjungi penganut ritual mistik.
Penganut ritual mistik yang berasal dari beberapa kampung itu percaya jika mereka melakukan 'ibadat haji' dari puncak Gunung Bawakaraeng, ia sama seperti dilakukan di Tanah Suci Makkah.
Menurut laporan Bantentv, Majlis Ulama Indonesia (MUI) turut menyiasat dakwaan video yang memaparkan penganut ritual mistik melakukan ibadat haji gunung tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Ayah 4 anak maut terkena tembakan rambang suspek 'satu dolar' ketika memandu
Menurut Ketua MUI bahagian Gowa, Abu Bakar Paka, pihaknya sedia maklum mengenai penyebaran video tersebut di laman media sosial.
"Kami masih menyiasat kebenaran dakwaan itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa daerah Tinggimoncong berhubung video tular naik haji di Gunung Bawakaraeng," katanya.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan sekumpulan ‘jemaah’ mendaki puncak gunung berketinggian 2,883 meter tersebut, didakwa untuk menunaikan haji.
MUI dan pemerintah setempat beberapa tahun sebelum ini pernah menutup laluan pendakian ritual tersebut kerana didapati menyimpang daripada ajaran agama Islam.
Namun pada tahun ini, ritual sesat itu berulang kembali kerana ia dikatakan menjadi tradisi sejak turun-temurun.
Ritual sesat itu diberi nama Haji Bawakaraeng menurut laporan Liputan 6.
Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Safri berkata, kejadian itu bukan perkara baharu.
“Mereka datang dari beberapa daerah di Sulawesi Selatan secara berkumpulan beberapa hari menjelang Aidiladha.
“Mereka membawa barangan jampi serapah seperti beras, telur, ayam dan kambing serta menuju ke puncak Gunung Bawakaraeng,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram