RAKAMAN yang dikeluarkan oleh Jabatan Polis Florida, Amerika Syarikat baru-baru ini merakamkan detik mengejutkan apabila seorang penembak tepat pasukan senjata dan taktikal khas (SWAT) menggagalkan satu rompakan bank.
Rakaman itu menunjukkan peluru yang digunakan anggota SWAT itu melepasi skrin komputer meja sebelum tepat mengenai kepala penjenayah.
Keadaan itu secara tidak langsung menyelamatkan dua orang pekerja bank yang dijadikan tebusan.
BACA LAGI: [VIDEO] Insiden berdarah KLIA: Suami ada 2 rekod jenayah lampau, hubungan bermasalah sejak 2016
Peristiwa itu berlaku pada 6 Februari lalu, apabila seorang lelaki berusia 36 tahun cuba merompak Bank of America di Fort Myers.
Rakamannya hanya tular pada Selasa (11 Jun 2024) selepas dikongsikan jabatan polis berkenaan.
Suspek yang mendakwa memiliki bom, berlindung di belakang tebusan dan menggunakan mereka sebagai 'perisai' manakala seorang perunding SWAT pula cuba memujuknya untuk menyerah diri.
Anggota SWAT sedang bersiap sedia menyerbu masuk ke premis bank tersebut.
Tiba-tiba, perompak itu meletakkan pisau di leher salah seorang tebusan yang mencetuskan campur tangan pihak berkuasa untuk segera bertindak.
Rakaman dari tempat kejadian yang dikeluarkan oleh Pejabat Sheriff Lee County menunjukkan anggota pasukan termasuk penembak tepat SWAT berada di luar pintu bank.
Sebelum mengambil tembakan, anggota itu dilihat menstabilkan senapang di bahu rakan setugasnya.
Dalam keadaan penglihatan terhad, penembak tepat itu mengambil tembakan secara mendatar sebelum mengenai bahagian tengah dahi suspek yang meragut nyawanya serta-merta.
"Keupayaan untuk menembak melalui halangan adalah aspek yang kerap dilatih dan diamalkan oleh penembak tepat unit operasi khas," kata Todd Olmer dari Pejabat Sheriff Lee County. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram